Akhbar Atas Talian No 1 Borneo

Indonesia pulangkan semula burung import dari Malaysia

0

INDONESIA memulangkan semula lebih 1,000 burung import dari Afrika Selatan dan Malaysia kerana didakwa membawa wabak selesema burung atau dikenali sebagai virus avian influenza.

Lapor CNN Indonesia, burung-burung tersebut diimport oleh CV Lestari Alam Semesta dan didapati tidak mematuhi kelengkapan dokumen kuarantin.

Ketua Balai Kuarantin Pertanian Kelas II, Medan, Lenny Hartati Harahap berkata, berdasarkan analisis risiko serta pemeriksaan dokumen kuarantin, pihaknya mendapati burung yang diimport dari Malaysia tidak dilengkapi Sijil Kesihatan.

“Burung-burung dari Malaysia juga bukan berasal dari unit perniagaan yang didaftar oleh SK Menteri Pertanian Nombor 756 2018 tentang penetapan premis sebagai unit perniagaan kemasukan burung komersial dari Malaysia.

“Balai Kuarantin Pertanian Kelas II Medan menyekat kemasukan burung dari Malaysia kerana pihak pengimport masih belum melengkapkan syarat kuarantin walaupun sudah 14 hari seperti yang ditetapkan,” katanya.

Menurut Lenny, burung-burung yang berasal dari Afrika Selatan juga tidak memiliki kelengkapan dokumen kuarantin berdasarkan surat edaran sebelum ini.

Jelasnya, peraturan itu mengarahkan langkah kuarantin terhadap kemasukan ayam dan produk ayam segar yang diimport dari Afrika Selatan berdasarkan perkembangan maklumat mengenai insiden Influenza Burung Sangat Patogenik (H7) di Afrika Selatan.

Afrika Selatan kini mengalami wabak yang diklasifikasikan sebagai Hama Penyakit Haiwan Kuarantin Golongan 1.

 

Loading

Leave A Reply

Your email address will not be published.