DUBAI: Tiga orang kelasi maut selepas puak Huthi menembak kapal dagang di Teluk Aden pada Rabu.
Tentera Amerika Syarikat (AS) mengatakan sekurang-kurannya empat lagi cedera.
Ini serangan maut pertama sejak tentera dari Yaman yang mendapat sokongan Iran itu memulakan serangan terhadap kapal di laluan laut paling sibuk di dunia.
“Kelasi terjun ke laut dan kapal tentera gabungan Barat membantu mereka dan akan mengambil tindakan lanjut.
“Serangan membuta-tuli ini mengganggu laluan dagang dunia dan membunuh kelasi,” menurut kenyataan tentera AS.
Katanya, itu serangan kelima oleh Huthi menggunakan peluru berpandu dalam masa dua hari.
Pejuang Huthi mengaku bertanggungjawab atas serangan itu, yang menyebabkan kapal True Confidence dengan bendera Barbados, terbakar kira-kira 50 batu nautika dari pantai pelabuhan Aden, Yaman.
Jurucakap Huthi Yahya Saree menjelaskan kapal itu ditembak kerana krew kapal berkenaan tidak menjawab amaran mereka, menurut laporan AFP.
Sementara itu REUTERS melaporkan, kapal itu ditembak kira-kira 50 batu nautika barat daya pelabuhan Aden di Yaman, sebelum hanyut dan terbakar.
Tiada maklumat mengenai status 20 anak kapal dan tiga pengawal bersenjata di atas kapal itu, termasuk 15 warga Filipina, empat warga Vietnam, dua warga Sri Lanka, seorang India dan seorang warga Nepal.
Menteri Luar Britain, David Cameron pula menegaskan negara itu akan menegakkan kebebasan laluan kapal dan akan mengambil tindakan.
Tentera AS dan Britain sudah beberapa kali sejak Januari lalu, menyerang kemudahan tentera di Yaman yang dikawal Huthi tetapi pejuang itu masih meneruskan ancaman terhadap kapal dagang.
Serangan Huthi di Laut Merah bermula sejak November lalu sebagai tanda sokongan mereka terhadap penderitaan rakyat Palestin selepas Gaza diserang oleh Israel.
Pejuang Huthi berikrar menembak kapal Israel, Britain dan AS dan semua kapal menuju pelabuhan Israel hingga mengganggu laluan berhampiran perairan Yaman. – AGENSI