Oleh EKOK AMIN
KOTA KINABALU (Sabah, Malaysia): Akademi Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) yang pertama kali diwujudkan oleh badan bola sepak negeri itu akan dilancarkan di Kinabatangan pada masa terdekat ini.
Majlis pelancarannya akan disempurnakan Timbalan Ketua Menteri merangkap Presiden SAFA, Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin serentak dengan majlis pecah tanah tapak tanah milik SAFA Kinabatangan.
Penolong Setiausaha Agung SAFA, Azman Mastar hari ini memberitahu, tarikh pelancaran masih belum diputuskan namun ia akan diadakan sebelum hari penamaan calon.
Katanya, akademi tersebut akan membabitkan pemain bawah umur 12, 14 dan 16 tahun dan akan diwujudkan di setiap daerah di negeri ini.
“Akademi SAFA merupakan sebahagian perancangan persatuan dalam usaha membangunkan sukanbola sepak di Sabah dan telah dirancang sejak awal tahun ini,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat pertama jawatankuasa pelaksana majlis pelancaran akademi itu di pejabat SAFA di sini.
Turut hadir Setiausaha Eksekutif SAFA, David Wisom dan Pengarah Teknikal SAFA, Omar Maya Amat.
Azman yang juga Pengarah akademi itu, berkata majlis pelancaran itu diadakan di Kinabatangan kerana ia akan dijalankan serentak dengan majlis pecah tanah tapak tanah SAFA Kinabatangan.
Katanya, semua SAFA daerah dari lapan zon dijangka akan membentuk akademi masing-masing selepas pelancaran Akademi SAFA induk.
Zon terbabit ialah Pantai Barat, Pantai Barat Utara, Pantai Barat Selatan, Pantai Timur Utara, Pantai Timur Selatan, Pantai Barat Timur, Pedalaman Atas dan Zon Tengah.
Beliau percaya melalui pewujudan akademi itu akan dapat membantu menggilap lebih ramai bakat-bakat pemain muda dari daerah-daerah dapat diberi bimbingan sempurna dengan pelantikan jurulatih-jurulatih yang berpengalaman.
“Kerjasama dari SAFA daerah dan para jurulatih yang bertauliah serta berpengalaman akan dapat memastikan program pembangunan melalui akademi ini berjaya dan mencapai matlamat,” ujarnya.