Akhbar Atas Talian No 1 Borneo

Yuran penyertaan untuk tampung kos pengurusan kejohanan Azman

0

Oleh DG HENRY

SUASANA LEBARAN…Anggota JKPT bergambar dengan Datuk Suhaimi Nasir (lima dari kiri) ketika menghadiri rumah terbuka aidilfitri Naib Presiden SAFA itu di Sandakan. Turut kelihatan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Yakub Khan dan Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Jafry Ariffin

PENGERUSI Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA), Azman Mastar menjelaskan bahawa yuran penyertaan yang dikenakan untuk Kejohanan Piala SAFA Antara Kelab-Kelab sebenarnya akan digunakan untuk menampung kos pengurusan penganjuran kejohanan berkenaan.

Katanya, kos pengurusan itu membabitkan bayaran hadiah pertandingan, pengadil, padang, keselamatan, perubatan, pengutip bola dan kos logistik yang lain.

Menurut beliau, kesemua hasil perolehan daripada yuran penyertaan yang dikenakan jawatankuasa penganjur akan digunakan untuk membiayai kos keseluruhan penganjuran sepanjang kejohanan termasuk pertandingan peringkat lapan zon sehingga ke peringkat grand final.

“Kos penganjuran kejohanan antara kelab ini sangat tinggi dan JKPT berpendapat ia perlu mengenakan kadar yuran penyertaan yang bersesuaian bagi menampung kos pengurusan tersebut,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan sesi taklimat terakhir kejohanan itu di Kompleks Sukan Sandakan di sini pada Ahad.

Sesi taklimat terakhir itu melibatkan Zon Pantai Timur Utara, Pantai Timur Selatan dan Zon Tengah.

Azman yang juga Penolong Setiausaha Agung SAFA, berkata pihaknya sudah berbincang dengan zon terlibat dan mendengar pandangan mereka berhubung penganjuran kejohanan yang julung kali diadakan itu.

“JKPT sebenarnya sentiasa mendengar dan mengambil kira serta berusaha mempertimbangkan secara positif pandangan semua pihak berhubung kejohanan tersebut,” ujarnya.

Sehubungan itu, Pengerusi JKPT itu mengumumkan bahawa yuran penyertaan bagi kejohanan itu telah dikurangkan kepada RM3,500 dan ia termasuklah yuran pendaftaran kelab di SAFA daerah masing-masing.

Katanya, kelab-kelab yang ingin menyertai kejohanan itu bolehlah berhubung dengan pengerusi-pengerusi penyelaras di setiap zon yang telah diamanahkan oleh JKPT selaku penganjur di peringkat zon.

Beliau berkata, serentak dengan keputusan mengurangkan kadar yuran penyertaan itu maka hadiah wang tunai yang ditawarkan juga telah dikurangkan bagi membolehkan penganjuran kejohanan akan dapat diteruskan dan berjalan lancar.

Juara di peringkat grand final akan menerima hadiah wang tunai sebanyak RM30,000 beserta piala dan medal, naib juara menerima wang tunai RM20,000 beserta piala dan medal dan tempat ketiga menerima wang tunai RM10,000 beserta piala dan medal.

Manakala di peringkat zon, juara akan menerima hadiah wang tunai RM3,000, piala dan medal dan naib juara menerima RM2,000, piala dan medal dan tempat ketiga menerima RM1,000, piala dan medal.

Menurut Azman, tarikh tutup penyertaan yang dijadualkan pada 21 Mei ini juga akan dianjakkan ke suatu tarikh yang sesuai dan akan dimaklumkan kepada semua zon kemudian.

Beliau berharap lebih banyak kelab-kelab bola sepak dari seluruh daerah akan berpeluang mengambil bahagian dalam kejohanan tersebut susulan pertimbangan fleksibel terhadap penganjurannya.

“JKPT telah mengambil kira pandangan setiap zon di samping respon dari kelab-kelab di seluruh negeri bagi membantu pihak jawatankuasa memperhalusi dan kemudian memberi pertimbangan fleksibel ini,” tambahnya.

Beliau berkata, penganjuran kejohanan antara kelab ini sememangnya termasuk dalam kalender perancangan SAFA sebelum ini dan ia akan direalisasikan susulan kejayaan Kejohanan Piala BMR B18 tahun lepas dan Piala Sabah merebut piala sumbangan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Mohd Noor pada Mac lalu.

“Dalam kedua-dua kejohanan itu, SAFA mendapat sokongan dari syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bagi memudahkan penganjuran dilaksanakan berbanding kejohanan antara kelab yang bakal kita anjur ini, kos penganjuran sepenuhnya akan menggunakan hasil kutipan yuran penyertaan yang diperoleh,”.

“Sebab itulah JKPT mengenakan yuran penyertaan lebih sedikit supaya kos penganjuran termasuk hadiah wang tunai dan kos-kos lain dapat ditampung tanpa sokongan pihak lain,” tegasnya.

 

 206 total views,  1 views today

Leave A Reply

Your email address will not be published.