KYIV: Presiden Volodymyr Zelensky menyeru dunia mengambil tindakan tegas berhubung serangan terbaharu Rusia di timur Ukraine yang meragut puluhan nyawa.
Gesaan itu dibuat selepas Rusia melancarkan serangan peluru berpandu di sebuah stesen kereta api di bandar Kramatorsk sehingga mengorbankan 52 orang awam.
“Ini adalah satu lagi jenayah perang Rusia yang mana semua pihak terlibat harus dipertanggungjawab.
“Dunia sudah pun mengecam serangan Rusia ke atas Kramatorsk. Kami kini menyeru tindakan tegas diambil di peringkat global terhadap jenayah perang ini,” katanya dalam video ucapan.
Sekurang-kurangnya 52 orang termasuk lima kanak-kanak terbunuh akibat serangan berkenaan.
Zelensky melaporkan 300 mangsa cedera dan menyifatkan serangan itu sebagai ‘kejahatan tanpa batasan’.
Beliau mendakwa pengeboman itu sudah dilaporkan di Rusia sebelum peluru berpandu mengenai sasaran.
Zelensky menggesa lebih banyak senjata untuk membalas serangan Moscow. – AFP