BANGKOK: Pembangunan tidak terkawal mengancam kesihatan dan kepelbagaian spesies ikan di sungai Mekong, menyebabkan 20 peratus ikan di laluan air utama Asia Tenggara itu diancam kepupusan, lapor kumpulan pemuliharaan alam sekitar.
Sungai Mekong sepanjang hampir 5,000 km (km) dari tanah tinggi di Tibet sehingga ke Laut China Selatan, menjadi nadi pertanian dan perikanan bagi puluhan juta penduduk di China, Laos, Myanmar, Thailand, Kemboja serta Vietnam.
Ancaman terhadap spesies ikan termasuk kehilangan habitat, penerokaan tanah lembap untuk pertanian atau akuakultur, pelombongan pasir tidak terkawal, kemasukan spesies asing dan kesan perubahan iklim.
Selain itu, pembinaan empangan kuasa hidro turut menjejaskan aliran sungai utama dan cawangannya, menurut laporan Tabung Hidupan Liar Sedunia (WWF) dan 25
“Ancaman utama sekarang yang masih berterusan, malah bertambah serius ialah pembanguan empangan kuasa hidro,” kata pakar biologi ikan, Zeb Hogan, yang mengetuai ‘Keajaiban Mekong’, salah sebuah kumpulan terbabit dalam laporan berkenaan.
Tambah beliau, empangan mengubah arus aliran air sungai Mekong, sungai ketiga di dunia yang memiliki paling banyak kepelbagaian spesies, sehingga menjejaskan kualiti air dan menyekat penghijrahan ikan.
Pembanguna pesat empangan kuasa hidro yang dibina China kini menyekat sebahagian besar mendapan penting yang membekalkan zat utama kepada puluhan ribu ladang ternakan ikan di Delta Sungai Mekong, mengikut laporan pada 2022.
Sekitar 19 peratus daripada 1,148 atau lebih spesies ikan di Mekong kini di ambang kepupusan, mengikut laporan pemuliharaan, ‘Ikan Mekong yang Dilupakan’.
Menurut laporan sama, angka sebenar mungkin lebih tinggi kerana tidak banyak diketahui mengenai 38 peratus spesies yang ada bagi menilai tahap pemuliharaan mereka.
Antara yang tersenarai menghadapi kepupusan ialah 18 spesies dianggap berdepan ‘ancaman kritikal’ oleh Kesatuan Antarabangsa Pemuliharaan Alam (IUCN) termasuk dua spesies ikan keli terbesar di dunia, ikan kap terbesar di dunia dan pari air tawar gergasi.
Kata Hogan, antara ikan air tawar paling besar dan sukar ditemui di dunai terdapat di Sungai Mekong.
Pengurangan ikan di Mekong, yang menyumbang lebih 15 peratus daripada hasil perikanan darat di dunia, menjana lebih AS$11 bilion (RM52 bilion) setahun, boleh mengancam keselamatan makanan bagi sekitar 40 juta penduduk di hilir lembangan Sungai Mekong, yang bergantung hidup kepada sungai berkenaan.
Hogan berkata, masih ‘belum terlalu lambat’ bagi negara di kawasan delta Sungai Mekong untuk menyelaras usaha bersama bagi mengurangkan kesan negatif terhadap kehidupan ikan di sungai itu.
“Ini hanya akan berjaya jika kita bekerjasama bagi menggunakan sumber dan hasil sungai secara mapan, harapan masih ada,” katanya. – REUTERS