Akhbar Atas Talian No 1 Borneo

‘Badan kami menggigil apabila Shinzo Abe terbunuh’

0

KASHIHARA: Seluruh rakyat Jepun bersedih dan berkabung susulan kematian bekas perdana menteri, Shinzo Abe yang maut ditembak dalam satu kejadian di wilayah Nara kelmarin.

Insiden yang menimpa Abe turut mengejutkan satu dunia, berikutan kadar jenayah yang rendah di negara ini, selain mempunyai undang-undang pemilikan senjata api paling ketat.

Suspek yang menembak Abe menerusi soal siasat oleh polis mengakui mahu membunuh bekas pemimpin tersebut kerana percaya Abe terlibat dalam ‘organisasi yang dibencinya’.

Disebabkan itu, suspek yang dikenali sebagai Tetsuya Yamagami, 41, berdendam dengan Abe dan merancang untuk membunuh bekas perdana menteri tersebut.

Media tempatan melaporkan organisasi itu dipercayai mempunyai kaitan dengan keagamaan.

Polis masih meneruskan siasatan, termasuk dakwaan suspek yang dia pernah berkhidmat dalam pasukan tentera.

Sebelum pukul 6 pagi waktu tempatan semalam, kenderaan yang dipercayai membawa keranda mayat Abe keluar dari perkarangan hospital disini, iaitu lokasi bekas pemimpin itu menerima rawatan sebelum meninggal dunia untuk dibawa ke Tokyo.

Pasukan perubatan di Hospital Perubatan Universiti Nara memaklumkan, Abe tidak menunjukkan tanda-tanda vital ketika tiba di hospital dan meninggal dunia akibat kehilangan darah yang banyak.

TIDAK SANGKA

Seorang pekerja teknologi maklumat di Tokyo, Koki Tanaka menyifatkan insiden yang berlaku terhadap Abe amat mengejutkan dan tidak disangka sama sekali boleh berlaku.

“Tidak kira apa yang berlaku, tindakan suspek menembak Abe amat tidak boleh diterima kerana jelas menentang demokrasi yang diangkat oleh seluruh rakyat Jepun.

“Badan kami menggigil selepas mengetahui Abe ditembak dan maut dalam insiden itu,” katanya.

Larangan pemilikan senjata api di Jepun menyaksikan orang persendirian tidak boleh memiliki pistol dan lesen memburu hanya melibatkan penggunaan senapang.

Selain itu, pemilik senjata api perlu menghadiri kelas, lulus peperiksaan dan menjalani pemeriksaan kesihatan serta latar belakang sebelum dibenarkan memiliki senjata tersebut.

Insiden tembakan di negara ini kebiasaannya melibatkan rusuhan antara kumpulan kongsi gelap yang digelar ‘yakuza’.

Kali terakhir perdana menteri negara ini maut dibunuh adalah pada 1936. – AGENSI

 116 total views,  1 views today

Leave A Reply

Your email address will not be published.