Akhbar Atas Talian No 1 Borneo

Kedegilan Rajapaksa ‘terkubur’ selepas kediaman diserbu rakyat

0

COLOMBO: Presiden Sri Lanka, Gotabaya Rajapaksa sudah bersedia melepaskan jawatannya selepas ratusan ribu penunjuk perasaan menyerbu kediamannya kelmarin.

Serbuan itu disifatkan sebagai ‘kemuncak tunjuk perasaan’ di negara ini oleh rakyat yang sudah tidak tahan lagi dengan krisis ekonomi yang berlaku sejak beberapa bulan lalu.

Selepas menyerbu masuk ke dalam kediaman presiden, penunjuk perasaan berlegar-legar di semua kawasan, dengan ada dalam kalangan mereka ‘menikmati mandian di kolam renang’.

Selain itu, ada juga penunjuk perasaan dilihat memasuki beberapa bilik di kediaman terbabit dan memegang kain yang didakwa ‘seluar dalam Rajapaksa’.

Ketika kejadian, Rajapaksa tidak berada di kediaman tersebut kerana beliau sudah pun dipindahkan ke sebuah lokasi sebagai langkah keselamatan.

Pengumuman persetujuan peletakan jawatan itu dimaklumkan oleh speaker Parlimen, Mahinda Abeywardena menerusi siaran langsung televisyen.

“Bagi memastikan peralihan kuasa yang aman, presiden mengumumkan beliau akan meletak jawatan pada 13 Julai ini,” katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri Sri Lanka, Ranil Wickremesinghe yang menjadi calon utama untuk menggantikan Rajapaksa mengadakan mesyuarat tergempar bagi memaklumkan beliau sanggup mengundurkan diri bagi mewujudkan kerajaan perpaduan.

Namun, perkara itu gagal meredakan kemarahan rakyat dan menyaksikan kediaman Wickremesinghe turut diserbu, selain menyaksikan penunjuk perasaan mencetuskan kebakaran.

Rakaman yang disiarkan dalam media sosial menunjukkan penunjuk perasaan bersorak apabila kebakaran berlaku.

Setakat ini, tiada kematian dilaporkan dan polis memaklumkan perdana menteri dan keluarganya tidak berada di kediaman itu ketika kejadian berlaku.

RAMAI BIMBANG

Dalam pada itu, pengumuman peletakan jawatan oleh Rajapaksa dilihat bakal mencetuskan ketidakstabilan peralihan kuasa di Sri Lanka.

Amerika Syarikat (AS) semalam menggesa para pemimpin negara ini supaya mencari jalan penyelesaian konkrit bagi mengelak lebih banyak masalah berlaku.

Washington turut menggesa Parlimen Sri Lanka menggunakan peluang peralihan kuasa ini untuk menarik balik kepercayaan rakyat dan tidak hanya pentingkan politik semata-mata.

TERDESAK, KECEWA

Sebelum itu, pasukan keselamatan cuba meleraikan penunjuk perasaan yang menyerbu bangunan pentadbiran di sini, menyaksikan mereka merusuh dengan anggota polis sehingga menyebabkan kecederaan.

Jurucakap hospital utama Colombo memaklumkan, seramai tiga orang dirawat kerana terkena peluru dengan 36 yang lain mengalami kesukaran bernafas selepas terkena gas pemedih mata.

Krisis ekonomi di negara ini disifatkan paling terburuk sejak kemerdekaan dicapai, menyaksikan rakyat terpaksa mencatu makanan dan bekalan bahan pai yang semakin menyusut.

Kerajaan mengakui tidak mampu untuk menstabilkan ekonomi dan sosial di negara ini apabila menanggung hutang sebanyak AS$51 bilion (RM216 bilion).

Terdapat beberapa langkah yang diambil kerajaan untuk mengurangkan penggunaan bahan api termasuk menutup sekolah dan institusi kerajaan selama beberapa minggu dan menggesa warganya yang menetap di luar negara untuk ‘menghantar duit’ kepada kerajaan.

Selain itu, rakyat juga digalakkan menghasilkan bekalan makanan sendiri dengan menanam sayuran dan buahan bagi menampung keperluan harian. – AFP

 

 277 total views,  1 views today

Leave A Reply

Your email address will not be published.