LONDON: Manchester United melancarkan jersi baharu mereka semalam dengan Cristiano Ronaldo menjadi ‘wajah’ kelab di sebalik permintaannya untuk meninggalkan Old Trafford.
Masa depan kapten Portugal itu bersama United tidak menentu selepas dia yang memiliki baki kontrak 12 bulan memberitahu pengurusan tertinggi kelab mahu pergi pada musim panas ini.
Ronaldo juga terlepas empat perlawanan pramusim menentang Liverpool, Melbourne Victory, Crystal Palace dan Aston Villa kerana tidak pergi menyertai jelajah musim panas di Thailand dan Australia.
Bekas bintang Real Madrid dan Juventus itu bagaimanapun tetap menjadi model untuk kit ‘home’ terbaharu Red Devils yang dilancarkan di media sosial dan laman web rasmi kelab.
“Scott McTominay kelihatan tajam,” tulis kenyataan gambar ketika menunjukkan pemain antarabangsa Scotland itu menggayakan baju baharu.
“Marcus Rashford kelihatan betul-betul di ‘rumah’,” tulis United apabila bintang England itu tampil memperagakan jersi.
“Kami tidak sabar untuk melihat Jadon Sancho memakai jersi ‘home’ baharu,” demikian keterangan di bawah gambar bekas bintang Borussia Dortmund itu yang tersenyum menyarung jersi United.
Begitupun apabila tiba giliran Ronaldo memakai jersi baharu, kapsyen yang ditulis tidak ‘sehangat’ pemain lain.
“Cristiano Ronaldo menggayakan jersi lengan panjang,” tulis keterangan ringkas di bawah gambar bintang penyerang Portugal itu.
Kegagalan United melayakkan diri ke Liga Juara-Juara musim depan antara faktor utama yang mendorong Ronaldo mahu meninggalkan Old Trafford.
Pada usia 37 tahun, dia mahu menyertai kelab yang mampu memberikan kejuaraan kepadanya di peringkat tertinggi untuk mengharungi sisa-sisa karier. – AGENSI