Akhbar Atas Talian No 1 Borneo

Banduan wanita dakwa cuba diperkosa polis

0

MAKASSAR: Pihak berkuasa sedang menyiasat kes seorang anggota polis cuba memperkosa banduan wanita yang ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Sulawesi Selatan baru-baru ini.

Ketua Perhubungan Awam Polis Wilayah Sulawesi Selatan, Komang Suartana berkata, kejadian itu melibatkan anggota polis yang ditugaskan dalam unit Direktorat Tahanan dan Barang Bukti Polis Wilayah Sulawesi Selatan.

Katanya, polis berpangkat brigadier itu dilaporkan memasuki bilik tahanan wanita dan mengganggu banduan yang ditahan dalam kes penyalahgunaan dadah.

Komang berkata, pihak berkuasa sedang meneliti kes tersebut dan akan mengenakan tindakan tegas sekiranya anggota polis berkenaan terbukti bersalah.

“Sudah tentu tindakan tegas akan diambil. Ketua polis wilayah tidak akan bertolak ansur dalam kes sebegini, pasti akan menghukum anggota yang melakukannya,” katanya kepada Kompas.com.

Berdasarkan maklumat awal, polis yang didakwa berada di bawah pengaruh alkohol itu memasuki penjara wanita sebelum meniarap di belakang mangsa yang sedang tidur.

Polis berkenaan dipercayai memaksa wanita itu menuruti keinginannya yang tidak bermoral namun selepas mangsa menolak, dia membisikkan kata-kata kesat kepada mangsa.

Kejadian tersebut didakwa berlaku sekitar akhir Julai lalu tetapi dilaporkan hanya beberapa hari lalu selepas mangsa berani bersuara.

Loading

Leave A Reply

Your email address will not be published.