Akhbar Atas Talian No 1 Borneo

Bina Jambatan Bambu Laluan Anak Ke Sekolah

0

eksklusif

Penduduk bersama guru-guru membina salah satu jambatan bambu untuk kemudahan pelajar ke sekolah

PERIHATIN dengan masa depan anak-anak, sekumpulan penduduk dan guru-guru sepakat membina sebanyak lima batang jambatan bambu merentangi Sungai Liau sebagai laluan ke sekolah.

Di lokasi yang tidak jauh dari lokasi jalan runtuh seorang pelajar meniti jambatan bambu untuk ke sekolah

Wakil penduduk yang enggan namanya dipetik memberitahu The Borneo Digest, mereka membina jambatan bambu itu sebagai laluan alternatif bagi memendekkan perjalanan anak-anak mereka yang bersekolah sama ada di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Apin-Apin atau Sekolah Kebangsaan (SK) Liau.

Berpuluh buah kampung di Mukim Apin-Apin dan sekitar terputus hubungan selepas jalanraya Apin-Apin Keningau di KM14 runtuh berikutan banjir pada seminggu yang lalu.

Pihak berkuasa jalanraya daerah memutuskan Transpegalan sejauh 41 Km sebagai laluan alternatif, tetapi penduduk mendakwa menghadapi kesukaran untuk menghantar anak-anak ke sekolah dengan mengambil kira kesesakan kenderaan ketika melalui bandar Keningau, selain terpaksa berbelanja besar untuk membayar kos perjalanan.

Penduduk turut meluahkan kekesalan kerana sehingga kini belum ada tanda-tanda pembinaan laluan alternatif sebagaimana yang dijanjikan akan siap dalam tempoh dua minggu.

Pelajar-pelajar Tingkatan Lima dan Enam sedang memulakan sesi persekolahan bagi penggal terakhir tahun ini.

“Dengan laluan melalui  jambatan bambu ini pelajar-pelajar dapat memendekkan jarak 3 – 5Km ke sekolah,” jelas ibubapa yang ditemui.

Pelajar-pelajar yang terlibat berasal dari Kampung Liau, Tagai, Pagansang, Bunga Raya, Labak Baru dan Kilang Ta Fook dan Lingawon, sementara bagi pelajar-pelajar sekolah rendah dari Kg. Kilambang dan Liau Ulu.

Pelajar-pelajar yang ditemui memberitahu, meniti jambatan bambu sambil bergelut dengan lumpur dan selut sepanjang perjalanan ke sekolah satu pengalaman pahit bagi mereka.

Pelajar-pelajar itu merayu kepada kerajaan supaya menyegerakan pembinaan jalan alternatif dengan segera bagi memudahkan mereka ke sekolah tanpa sebarang gangguan emosi.

“Kami akan menduduki pepereksaan akhir pada hujung tahun ini,” jelas pelajar-pelajar itu. Oleh: EKOK AMIN

 1,026 total views,  1 views today

Leave A Reply

Your email address will not be published.