DOHA: Jurulatih Brazil, Tite dijangka merehatkan beberapa pemain utama menentang Cameroon bagi memboleh mereka berehat untuk saingan kalah mati selepas ini.
Brazil yang sudah menempah tempat untuk pusingan seterusnya dengan dua kemenangan sebelum ini membolehkan mereka merehatkan pemain-pemain utama sementara menunggu bintang-bintangnya, Neymar, Alex Sandro dan Danilo pulih daripada kecederaan.
Rombakan tersebut berkemungkinan akan membolehkan pemain baharu Brazil, Rodrygo dan Gabriel Martinelli memperoleh pengalaman bermain dalam Piala Dunia melalui penurunan pertama mereka menentang The Indomitable Lions.
Ketika ini Brazil kehilangan tiga pemain tonggaknya iaitu Alex Sandro, Neymar dan Danilo kerana mengalami kecederaan semasa menentang dua perlawanan peringkat kumpulan sebelum ini.
Doktor pasukan Brazil, Rodrigo Lasmar setakat ini tidak memberi jangka masa tepat untuk pemain-pemain tersebut kembali menyertai pasukan mereka.
Malah, turut dilaporkan bahawa sebahagian daripada pemain Brazil sakit sejak Ahad lalu termasuk pemain tengah, Lucas Paqueta yang tidak menghadiri sesi latihan dan diletakkan sebagai pemain simpanan.
Cameroon yang turut mempunyai peluang ke peringkat kalah mati itu juga dijangka akan menghadapi kesukaran menentang Brazil. – AGENSI