UPACARA perasmian Kejohanan grand final Bola Sepak SAFA Piala BMR B18 akan diadakan di Padang SAFA di sini pada 27 November ini.
Ia akan disempurnakan oleh Presiden SAFA, Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin sendiri dan beberapa orang kenamaan jemputan termasuk Pembantu Menteri Belia dan Sukan, Andi Muhammad Suryadi Bandi.
Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan SAFA, Azman Mastar, berkata Timbalan Ketua Menteri itu sudah menyatakan persetujuan untuk melakukan perasmian kejohanan yang pertama kali diadakan itu.
Katanya, venue majlis perasmian yang sebelum ini di Stadium Likas terapksa dipindahkan ke padang SAFA disebabkan stadium berkenaan tidak digunakan pada tarikh tersebut.
“Jawatankuasa pertandingan tempatan SAFA telah memutuskan pemindahan venue perasmian pada mesyuaratnya pagi ini,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat tersebut.
Azman yang juga Penolong Setiausaha Agung SAFA, berkata segala persiapan untuk grand final kejohanan itu yang bermula pada 26 November ini telah siap diatur dan menggunakan padang sintetik Kompleks Sukan Likas dan Stadium Penampang.
Menurut beliau, perlawanan akhir dan penentuan tempat ketiga kejohanan itu akan dijalankan di Stadium Likas.
Lapan pasukan yang akan bertanding di peringkat grand final terdiri dari Zon Pantai Barat (Kota Kinabalu, Putatan, Papar), Pantai Barat Utara (Kudat, Kota Marudu, Pitas, Kota Belud, Matunggong), Pantai Barat Timur (Tuaran, Tamparuli, Penampang, Kiulu), Pantai Barat Selatan (Beaufort, Sipitang, Kuala Penyu, Membakut), Pantai Timur Utara (Sandakan, Beluran, Kinabatangan), Pantai Timur Selatan (Tawau, Lahad Datu, Semporna, Kalabakan, Kunak), Pedalaman Atas (Keningau, Tambunan, Tenom, Nabawan) dan Zon Tengah (Ranau, Telupid, Tongod).
Zon terbabit akan dibahagikan kepada dua kumpulan.
Beliau memberitahu, selepas upacara perasmian, satu perlawanan bola sepak persahabatan amal di antara pasukan pengurusan Sabah FA dan pasukan wanita Sabah pada sebelah malam dan pelakon Ampal akan menjadi pengacara dan pengulas sepanjang perlawanan itu.
Katanya, kejohanan itu akan menjadi medan bagi mencungkil bakat pemain-pemain muda dari seluruh negeri dan pemain terbaik yang dikenal pasti oleh panel pemilihan yang diketuai Pengarah Teknikal SAFA, Omar Maya Amat akan berpeluang untuk diserapkan dalam pasukan Piala Belia Sabah musim depan.
“Bagi kami di jawatan pertandingan tempatan akan melaksanakan penganjuran ini sejajar dengan misi dan hala tuju Presiden SAFA untuk memajukan sukan bola sepak di negeri ini,” tegasnya.
Tambahnya, semua pasukan yang akan bertanding di grand final itu akan dikehendaki mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan pihak kerajaan dan mereka sudah diberi taklimat sebelum ini. – Oleh: DG HENRY
![]()