KOTA BELUD (Sabah, Malaysia): Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Datuk Ewon Benedick merasmikan penutupan Kejohanan Bola Sepak 9 Sebelah Zon A (Kota Belud, Kota Marudu dan Kudat) Piala UPKO, di Padang Dudan Kg.Piasau, di sini, kelmarin.
Ewon yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian memuji usaha Exco Pemuda UPKO atas kejayaan menganjurkan kejohanan itu.
Beliau turut menyokong supaya satu pertandingan diadakan di antara juara-juara sembilan Zon seluruh Sabah.
“Pertandingan seumpama ini bukan sahaja membudayakan amalan gaya hidup sihat dan mengukuhkan ikatan persahabatan diantara peserta tetapi dapat mencungkil bakat-bakat golongan belia dalam sukan bola sepak,” katanya.
Karnival Bola Sepak 9 Sebelah Bagi Zon A anjuran Exxo Pemuda UPKO sempena bulan “Hari Malaysia”, diadakan selama dua hari berakhir kelmarin (22 Sept) di Padang Dudan Kg.Piasau dan Padang Layu Kg.Kaung Malaan.
Kejohanan itu disertai 26 pasukan. Johan menerima hadiah wang tunai RM1,000, tempat kedua (RM700), ketiga (RM500) dan keempat (RM300). Kesemua pemenang masing-masing menerima sebuah piala dan medal.
Hadiah disampaikan oleh Ewon. Turut hadir Setiausaha Politik Menteri Kuskop Carl Moosom, Naib Presiden yang juga Ketua Pemuda UPKO Felix Joseph Saang, Ketua Pemuda UPKO Kota Belud Jolyheme Saran, Ketua Bahagian UPKO Kota Marudu Jamil Majingkin dan Ketua Pemuda UPKO Kudat Edbery Kohiya.
Sementara itu Felix berkata, setakat ini sebanyak lima zon iaitu Zon A, Zon B, Zon C, Zon H dan Zon I selesai menganjurkan kejohanan itu.
Zon A merangkumi Kota Belud, Kota Marudu dan Kudat, Zon B (Tuaran dan Sepanggar), Zon C (Penampnag, Kota Kinabalu dan Putatan), Zon H (Beluran, Kinabatangan dan Libaran) dan Zon I pula meliputi Tenom dan Pensiangan.
Felix berkata, kejohanan itu bertujuan menyemarakkan semangat Hari Pembentukan Malaysia dikalangan rakyat Malaysia khususnya di Sabah.
“Kita mahu para belia dan generasi baru masa kini memahami dan menghayati sejarah Pembentukan negara kita Malaysia,” katanya.