Akhbar Atas Talian No 1 Borneo

Gagen mahu jadi ratu cantik pertama bergelar angkasawan

0

LONDON: Seorang wanita berusia 27 tahun yang baru-baru ini dinobatkan sebagai Ratu Cantik England, mendedahkan cita-citanya untuk menjadi angkasawan.

Lapor Daily Mail, Jessica Gagen dari Skelmersdale menyatakan hasratnya untuk dilatih sebagai angkasawan dan mengembara ke angkasa lepas.

Jessica yang bakal menjadi saintis roket ketika ini sedang menamatkan pengajian ijazah sarjana kejuruteraan aeroangkasa di University Liverpool.

Jessica juga mahu menjadi inspirasi kepada wanita lain untuk menceburi dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM).

Model itu turut mengimpikan untuk mendidik kanak-kanak ketika bekerja di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS).

Jessica yang dinobatkan sebagai Ratu Cantik England dua bulan lalu, akan menyertai pertandingan Miss World pada musim bunga tahun depan.

Jessica turut berharap agar menjadi ratu cantik dan model pertama yang pernah mengembara ke angkasa lepas.

Wanita itu juga merancang untuk memohon menjadi angkasawan dalam tempoh tiga tahun akan datang.

“Ijazah kejuruteraan ini membuka begitu banyak pintu untuk saya, jadi suatu hari nanti, saya berharap dapat bekerja dengan Agensi Angkasa Lepas Eropah sekali gus mencapai impian saya.

“Selepas menamatkan ijazah, saya perlu melakukan latihan industri selama tiga tahun sebelum memohon menjadi angkasawan.

“Impian saya adalah untuk mengembara ke ISS dan mendidik kanak-kanak dari angkasa lepas,” katanya.

 

 431 total views,  1 views today

Leave A Reply

Your email address will not be published.