PERLAWANAN peringkat akhir Piala Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA), Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin (Piala BMR) akan diadakan di sini pada 26-28 November ini.
Kejohanan bawah umur 18 tahun itu akan menggunakan dua venue iaitu Stadium Likas dan padang SAFA.
Ia tertangguh berikutan pandemik Covid-19 di mana pihak kerajaan tidak membenarkan sebarang penganjuran aktiviti bola sepak di negeri ini.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan SAFA, Lokman Sunggim, berkata jawatankuasa pertandingan menetapkan tarikh grand final itu setelah mendapat kelulusan daripada Kementerian Belia dan Sukan.
Katanya, sebanyak lapan zon akan bertanding di peringkat akhir itu terdiri dari Zon Pantai Barat Timur, Pantai Barat, Pantai Barat Utara, Pantai Barat Selatan, Pantai Timur Utara, Pantai Timur Selatan, Pedalaman Atas dan Zon Tengah.
Beliau mengumumkan perkara itu dalam mesyuarat atas talian yang disertai kesemua lapan pengerusi pertandingan penganjur pertandingan peringkat zon di sini, pagi tadi.
Turut menyertai mesyuarat secara maya itu ialah Setiausaha Agung SAFA, Datuk Dr Jelani Hamdan, Setiausaha Eksekutif SAFA, David Wisom dan Pengarah Teknikal SAFA, Omar Maya Amat.
Menurut Lokman, lapan pasukan yang bertanding di grand final akan dibahagikan kepada dua kumpulan dan jadual perlawanan akan disediakan kepada setiap pasukan.
Katanya, kejohanan yang pertama kali diadakan itu bertujuan untuk mencungkil bakat-bakat pemain muda dari seluruh negeri dan ia juga sebagai memenuhi misi dan hala tuju Presiden SAFA dalam memajukan sukan bola sepak di Sabah.
“SAFA akan mengenal pasti pemain-pemain muda yang berpotensi menerusi kejohanan ini melalui satu panel pemilihan yang diketuai Pengarah Teknikal SAFA, Omar Maya Amat untuk diserapkan dalam pasukan Piala Belia Sabah musim depan,” ujarnya.
Beliau memberitahu, juara kejohanan itu akan menerima hadiah berupa wang tunai RM30,000, sebuah piala, piala iringan dan trofi.
Pasukan naib juara menerima hadiah wang tunai RM20,000, piala dan trofi manakala tempat ketiga menerima hadiah wang tunai RM15,000, piala dan trofi. Tempat keempat turut menerima wang tunai RM5,000, piala dan trofi.
Katanya, bagi memudahkan setiap pasukan, mereka akan ditempatkan dalam satu lokasi penginapan yang berhampiran dengan venue pertandingan.
Beliau berharap semua pasukan melakukan persiapan mulai dari sekarang dan mereka mempunyai masa kira-kira tiga minggu untuk bebuat demikian.
“Semua pasukan juga harus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan kerajaan sepanjang pertandingan akhir yang telah diberi penerangan oleh jawatankuasa pertandingan,”.
“Kita memohon kerjasama semua pihak terlibat dari kelapan-lapan zon berkenaan bagi membolehkan grand final ini berjalan lancar dan dijayakan sebaik mungkin,” tegasnya.
Lokman juga mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua pengerusi-pengerusi penganjur pertandingan dan ahli jawatankuasa mereka di peringkat zon yang dapat menggendalikan kejohanan di zon masing-masing dengan baik walaupun ada kekangan terutama dalam situasi Covid-19. – Oleh:DG HENRY