LONDON: Beberapa pemimpin politik dan pakar sejarah diraja menggesa Putera Harry dan isterinya, Meghan Markle tidak menghadiri istiadat pertabalan Raja Charles III yang akan diadakan pada Mei tahun depan.
Gesaan itu dibuat selepas sebuah dokumentari kontroversi mengenai kehidupan peribadi pasangan Duke dan Duchess of Sussex itu ditayangkan di Netflix pada minggu lalu.
Susulan dokumentari itu, beberapa tokoh terkenal menegaskan pasangan diraja itu tidak harus dibenarkan untuk menghadiri upacara bersejarah tersebut.
Lapor metro.co.uk, pemimpin veteran dari Parti Tory, David Mellor mengkritik pendedahan Harry dan Meghan dalam dokumentari tersebut dengan menyatakan pasangan itu tidak seharusnya datang ke istiadat pertabalan Raja Charles III.
“Pasangan itu membuat keuntungan melalui kisah penderitaan mereka dengan memalukan keluarga sendiri.
“Saya fikir ia amat jelas bahawa rakyat Britain tidak mahu pasangan diraja itu berada di upacara tersebut.
“Malah, saya berpendapat orang ramai juga mempunyai hak untuk mengecam pasangan itu sekiranya mereka muncul di upacara berkenaan,” katanya.
Bekas pemimpin Parti Konservatif, Duncan Smith turut senada dengan Mellor, kecewa dengan tindakan Harry dan Meghan yang mencetuskan kontroversi dalam dokumentari tersebut.
Beliau juga mempertikaikan mengapa Harry dan Meghan begitu berminat untuk menghadiri upacara pertabalan Raja Charles III sekiranya mereka tidak menyukai langsung keluarga diraja.
Sementara itu, pakar sejarah diraja, Lady Antonia Fraser pula mencadangkan agar Harry dan Meghan terus tinggal di rumah supaya tidak mencetuskan sebarang kontroversi ketika upacara itu diadakan.
Dalam siri dokumentari ditayangkan di Netflix, Harry dan Meghan mendakwa media memusnahkan kehidupan mereka sebelum meninggalkan United Kingdom (UK).
Pasangan itu juga mendakwa keluarga diraja gagal memahami Meghan yang memerlukan perlindungan disebabkan serangan perkauman serta tidak pernah menerimanya sebagai sebahagian anggota keluarga itu.