Akhbar Atas Talian No 1 Borneo

Hezbollah lancar lebih 60 roket sasar pangkalan tentera Israel

0

BEIRUT: Kumpulan Hezbollah Lubnan memaklumkan pasukannya berjaya melancarkan lebih 60 roket menyasarkan pangkalan tentera Israel.

Hezbollah disokong Iran menyifatkan serangan bertubi-tubi itu sebagai tindak balas susulan pembunuhan Timbalan Ketua Hamas, Saleh al-Arouri di Beirut.

“Serangan itu merupakan sebahagian tindak balas awal terhadap jenayah pembunuhan pemimpin terkenal, Sheikh Saleh al-Arouri.

“Hezbollah menyasarkan pangkalan kawalan udara Meron dengan 62 pelbagai jenis peluru berpandu,” jelas kumpulan itu dalam satu kenyataan.

Sejak perang Israel-Palestin meletus pada 7 Oktober tahun lalu, sempadan Israel-Lubnan menyaksikan berbalas tembakan terutamanya antara tentera Israel dan Hezbollah yang juga sekutu Hamas.

Mengenai pembunuhan Saleh di kubu kuat Hezbollah berhampiran selatan Beirut, seorang pegawai pertahanan Amerika Syarikat (AS) mendakwa serangan itu dilakukan Israel, sehingga menimbulkan kebimbangan ketegangan selanjutnya.

Setakat ini, rejim Zionis itu tidak mengaku bertanggungjawab ke atas serangan itu yang merupakan pertama ke atas ibu negara Lubnan sejak persengketaan bermula tahun lalu.

Sementara itu, tentera Israel mendakwa mengenal pasti kira-kira 40 pelancaran roket dari wilayah Lubnan pada pagi tadi.

Israel menerusi kenyataan memaklumkan tenteranya memusnahkan sel yang bertanggungjawab menjadi beberapa tapak pelancaran roket tidak lama selepas itu. – AFP

 

Loading

Leave A Reply

Your email address will not be published.