Akhbar Atas Talian No 1 Borneo

Israel serang Ramallah dalam serbuan terbesar sejak beberapa tahun

0

RAMALLAH: Tentera Israel menyerbu ibu kota pentadbiran Palestin, Ramallah di Tebing Barat sepanjang malam menyebabkan seorang remaja berusia 16 tahun maut di kem pelarian.

Menurut sumber, serangan itu adalah serbuan terbesar mereka ke bandar itu dalam beberapa tahun.

Saksi di Ramallah berkata, tentera Israel telah menyerbu bandar yang adalah ibu pejabat Pihak Berkuasa Palestin yang diketuai oleh Presiden Mahmoud Abbas itu dengan menaiki berpuluh-puluh kenderaan tentera.

Kementerian kesihatan Palestin berkata tentera Israel menembak dan membunuh Mustafa Abu Shalbak, 16, ketika menyerbu kem pelarian Am’ari.

Agensi berita Palestin WAFA berkata, konfrontasi tercetus ketika tentera Israel menyerbu kem itu, dan peluru hidup dilepaskan ke arah pemuda Palestin, mencederakan Abu Shalbak di leher dan dada.

Tentera Israel tidak menjawab permintaan untuk komen.

Keganasan telah melonjak merentasi Tebing Barat selari dengan perang Gaza, dengan sekurang-kurangnya 400 rakyat Palestin terbunuh dalam pertempuran dengan tentera dan penduduk haram Israel, dan Israel kerap menyerbu kawasan di seluruh wilayah Palestine yang didudukinya sejak tahun 1967.

Tentera Israel juga merosakkan jalan utama di bandar Tulkarm Tebing Barat semasa serbuan di sana, kata saksi.

WAFA melaporkan tentera Israel menyerbu bandar Nablus Tebing Barat, dan meletupkan rumah seorang lelaki yang sebelum ini dituduh melakukan serangan di mana seorang wanita berketurunan British-Israel dan dua anak perempuannya terbunuh pada bulan April lalu.

Lelaki itu, Moaz al-Masri, dibunuh oleh tentera Israel di Nablus Mei lalu.

Menurut The Palestinian Prisoners Club, Tentera Israel menahan sekurang kurangnya 55 rakyat Palestin dalam serbuan di seluruh Tebing Barat. – REUTERS

 

Loading

Leave A Reply

Your email address will not be published.