Oleh DG HENRY dan EKOK AMIN
TABS SAFA Bandaraya mengadakan majlis sambutan Hari Raya Aidilifitri di perkarangan padang TABS SUKMA pada Isnin selepas dua tahun tidak berbuat demikian.
Walaupun sambutan diadakan secara sederhana namun ia tetap meriah dengan kehadiran para ibu bapa, pelatih TABS serta penggiat sukan bola sepak.
Timbalan Pengerusi TABS SAFA Bandaraya, Lokman Sunggim, berkata sambutan itu mendapat kerjasama baik daripada kalangan ibu bapa pelatih yang berganding bahu dengan pihak pengurusan TABS khususnya unit kejurulatihan menjayakannya.
Katanya, TABS mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada ibu bapa pelatih atas komitmen dan kesungguhan mereka sehingga majlis sambutan aidilfitri itu dapat dijayakan.
“Alhamdulillah, TABS dapat melaksanakan sambutan tahun ini selepas tidak dapat berbuat demikian selama dua tahun akibat pandemiki Covid-19,” katanya ketika ditemui selepas majlis jamuan aidilfitri itu di perkarangan padang TABS SUKMA di sini.
Menurut beliau, kawasan lapang yang lebih luas mendorong pengurusan TABS memilih lokasi sambutan itu di perkarangan padang berkenaan.
“Rasanya sekali-sekala kita boleh adakan aktiviti di perkarangan luar padang ini memandangkan kawasannya luas dan kita hanya perlu menyediakan khemah sahaja,” katanya.
Beberapa pegawai tertinggi SAFA antaranya Naib Presidennya, Datuk James Wong, Ahli Majlis Tertinggi, Othman Abdullah, Penolong Setiausaha Agung SAFA, Azman Mastar, Setiausaha Eksekutif SAFA, David Wisom, Pengerusi TABS, Sulaiman Mohd. Nor, Penasihat TABS yang juga bekas Presiden SAFA, Alijus Sipil, jurulatih Sabah FC U19, Johnny Dominicus dan bekas pemain kebangsaan, Suharmin Yusof.
Lokman yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan SAFA, berkata pihaknya bersyukur majlis itu dapat dijayakan sekalipun perayaan Hari Raya Aidilfitri semakin menghampiri penghujungnya.
Katanya, selepas dua tahun tiada sambutan sedemikian diadakan memang sambutan aidilfitri kali ini begitu dapat dirasakan kemeriahannya.
Menurut beliau, sememangnya jamuan aidilfitri ini mampu memupuk semangat perpaduan dan dapat menjalinkan keharmonian dalam kalangan mereka yang meraikannya.
“Mudah-mudahan sambutan sebegini kita akan terus dapat adakan lagi pada tahun-tahun akan datang,” tambahnya.