Oleh DG HENRY
PENGERUSI TABS SAFA Bandaraya, Sulaiman Mohd Nor menyerahkan surat rasmi memberi kuasa kepada unit kejurulatihan mengendalikan sepenuhnya pengurusan dan penjagaan padangnya berhampiran padang SUKMA berkuatkuasa serta merta.
Menurut beliau, buat sementara pengendalian padang TABS itu akan dilakukan unit kejurulatihan bagi membolehkan Program Pembangunan Bolasepak Akar Umbi akan dapat diteruskan dengan lancar.
“Kita sudah mengeluarkan surat rasmi itu dan telah diserahkan kepada Setiausha TABS, Amsir Abdullah bagi tujuan pengurusan dan penjagaan padang berkenaan akan dikendalikan unit kejurulatihan,” katanya ketika ditemui selepas meninjau keadaan padang tersebut, pagi ini.
Sulaiman berkata, unit kejurulatihan akan bekerjasama dengan Biro Pengurusan dan Penjagaan Padang TABS buat sementara waktu sebelum biro tersebut mengambil alih sepenuhnya pengurusan dan padang itu dalam masa terdekat ini.
Katanya, perkara itu telah diputuskan pengurusan tertinggi TABS dalam perbincangan baru-baru ini supaya pengurusan dan penjagaan padang berkenaan dilakukan dengan sempurna.
Berikutan itu, tambahnya, sebarang urusan pihak luar berhubung padang itu hendaklah merujuk kepada unit kejurulatihan kerana unit itu telah diberi kuasa serta merta.
“Kita juga telah menetapkan bahawa padang itu akan menjadi venue utama untuk program pembangunan bola sepak TABS sahaja,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa TABS tidak akan membenarkan mana-mana pihak menjalankan sebarang aktiviti di kawasan padang berkenaan tanpa memaklumkan kepada unit kejurulatihan dan pengurusan tertinggi TABS.
Tambahnya, sesiapa yang “menceroboh” ke kawasan padang tersebut adalah dilarang sama sekali dan akan diambil tindakan undang-undang jika didapati berbuat demikian.