Akhbar Atas Talian No 1 Borneo

JKPT SAFA adakan kunjungan hormat terhadap KM Sabah

0

Oleh DG HENRY

Rombongan JKPT SAFA berbual dengan Hajiji.

JAWATANKUASA Pertandingan Tempatan Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) mengadakan kunjungan hormat kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Mohd Noor di kediaman rasmi beliau di Seri Gaya pada Khamis.

Jawatankuasa itu yang diketuai pengerusinya, Azman Mastar akan menganjurkan Kejohanan Bola Sepak Piala Sabah 2022 bagi merebut piala sumbangan Hajiji yang akan disertai 34 pasukan SAFA daerah membabitkan lapan zon.

Grand final kejohanan itu melibatkan lapan pasukan yang mewakili zon masing-masing akan berlangsung di Kota Kinabalu mulai 23 hingga 27 Mac ini.

Semasa kunjungan itu, Azman yang juga Penolong Setiausaha Agung SAFA menyampaikan jemputan rasmi kepada ketua menteri untuk hadir menyempurnakan majlis penutupan perlawanan akhir Piala Sabah di Stadium Likas pada 27 Mac ini.

Katanya, ketua menteri telah menyatakan persetujuannya untuk menyempurnakan majlis penutupan itu nanti.

Selain Hajiji, Presiden SAFA, Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin dan beberapa ahli majlis tertinggi badan bola sepak negeri dijangka hadir pada majlis tersebut, katanya.

Menurut beliau, Jawatankuasa Pertandingan Tempatan SAFA mengucapkan terima kasih kepada ketua menteri atas kesudian menerima kunjungan mereka.

Beliau berharap dengan kerjasama baik semua pasukan di setiap zon akan membantu penganjuran kejohanan berkenaan dapat dilaksanakan dengan jayanya.

Hadir sama dalam kunjungan itu ialah Timbalan pengerusi jawatankuasa itu, Lokman Sunggim, Setiausaha Eksekutif SAFA, David Wisom, Pengarah Teknikal SAFA, Omar Maya Amat dan Pegawai Tadbir pertandingan, Malim Surat.

 82 total views,  1 views today

Leave A Reply

Your email address will not be published.