Akhbar Atas Talian No 1 Borneo

Kami buktikan bola sepak wujud di Maghribi – Walid

0

DOHA: Pengurus Maghribi, Walid Regragui amat bangga dengan pasukannya biarpun langkah mereka pada Piala Dunia 2022 berakhir di separuh akhir selepas kalah 0-2 kepada Perancis, awal pagi tadi.

Maghribi mengatasi cabaran hebat dua gergasi Eropah, Sepanyol (pusingan 16 akhir) dan Portugal (suku akhir) untuk melangkah peringkat empat terbaik.

Bagaimanapun ‘kuasa’ serangan Perancis, yang turun selaku juara bertahan terlalu ampuh dengan Theo Hernandez dan Randai Kolo Muani menjadi pemusnah apabila meledak kedua-dua jaringan skuad Les Bleus.

Maghribi bagaimanapun sudahpun memahat sejarah dengan layak ke separuh akhir dan kini mengidamkan penamat terbaik apabila berdepan Croatia dalam penentuan tempat ketiga, Sabtu ini.

“Perkara paling penting ialah menunjukkan wajah yang baik, menunjukkan bahawa bola sepak di Maghribi wujud dan kami mempunyai penyokong yang hebat.

“Kami memberikan yang terbaik. … (Kekalahan) tidak menghilangkan semua yang kami berikan sebelum ini,” katanya kepada TF1.

Maghribi antara kisah Piala Dunia yang memberi inspirasi kepada berjuta-juta orang di seluruh dunia, apatah lagi pencapaian mengejutkan mereka dilakar hanya beberapa bulan selepas bertukar jurulatih.

Walid mengakui, skuad Singa Atlas mungkin memberi peluang kepada beberapa pemain di bangku simpanan untuk merasai pengalaman Piala Dunia apabila berdepan Croatia. – AGENSI

 

 264 total views,  1 views today

Leave A Reply

Your email address will not be published.