HARI ini kita melangkah ke tahun baharu 2022, dan saya berharap dengan kehadiran tahun baharu ini ianya akan menjadi lebih bermakna sebagai pendorong semangat dan azam baru kepada seluruh rakyat Sabah khususnya di kawasan Bingkor.
Semoga kita bersama-sama dapat terus berusaha meningkatkan kualti kehidupan sebagai satu masyarakat yang bersatu dan juga mendorong diri untuk mengecapi kejayaan yang lebih tinggi demi terus mengharumkan nama PERSATUAN KEBAJIKAN MASYARAKAT BINGKOR dan bangsa yang bernaung dibawahnya.
Saya amat yakin untuk tahun baharu ini kejayaan yang lebih berimpak tinggi akan dapat dicapai melalui semangat bersatu dan rasa cinta terhadap negeri kelahiran.
Mari lah bersama-sama mengambil iktibar dari pengalaman memerangi penularan pandemik, zahir sebagai kesan tahun 2020 – 2021, yang telah mematangkan kita semua, dan juga telah membawa anjakan drastik kepada cara kita bekerja dalam kehidupan norma baharu.
Semestinya pencapaian yang kita kecapi bersama pada tahun 2021 menjadi pengukur dan bukti bahawa perjuangan cekal menghadapi dugaan dan boleh mengatasi segala cabaran yang dilontarkan sekiranya kita bersama-sama berganding bahu dan berusaha mencari jalan keluar dari terbelenggu oleh rintangan dan kekangan keadaan.
Tahun 2022 telah bermula dengan amat istimewa buat diri saya kerana inilah langkah awal bagi persatuan ini untuk memulakan fungsinya sebagai sebuah Ngo bagi mengalas harapan dan tanggungjawab memartabatkan bangsa yang bernaung.
Semoga dengan azam baharu tahun 2022 Persatuan dapat mengecapi budaya berimpak tinggi yang dibentuk atas nilai insan yang berbudiman, berakhlak mulia, berilmu tinggi, dan bersemangat dinamik.
Selamat Tahun Baharu 2022.
HAJI YAZID HJ MOHD HASNAN TAWIK @ CHARLES (Perutusan Tahun Baharu 2022 Pengerusi Penaja, Persatuan Kebajikan Masyarakat Bingkor).