LAS VEGAS: Kesan daripada Taufan Helene semalam mengganggu kempen pesaing Presiden, Kamala Harris dan Donald Trump selepas Harris memendekkan perjalanan kempen untuk terbang kembali ke Washington, manakala Trump melawat sebuah bandar yang terjejas oleh ribut di negeri Georgia yang menjadi medan perang.
Timbalan Presiden Demokrat, Harris merancang untuk mengunjungi kawasan tenggara dengan segera menurut seorang pegawai yang enggan dikenali.
Taufan Helene menyebabkan lebih 100 kematian di North Carolina, South Carolina, Georgia, Florida, Tennessee dan Virginia, manakala berjuta-juta lagi menghadapi gangguan bekalan elektrik dan jalan raya yang musnah.
Tiada butiran berkenaan bila Harris akan melawat atau ke mana beliau akan pergi.
Calon Republikan, Trump melawat Valdosta, sebuah bandar di negeri Georgia yang menjadi ‘swing state’, di mana beliau mengucapkan terima kasih kepada pemimpin tempatan dan petugas pertama atas respon mereka terhadap taufan dan berjanji ‘bersolidariti penuh’ dengan mereka yang kehilangan orang tersayang, rumah, dan perniagaan.
Presiden Demokrat ,Joe Biden berkata beliau sudah memberitahu Gabenor North Carolina, Roy Cooper bahawa beliau akan melawat negeri itu pada minggu ini dan dijangka tiba pada Rabu atau Khamis.
Harris pada Ahad lalu terbang kembali ke Washington lebih awal dari yang dirancang dari Las Vegas, Nevada, di mana beliau sedang dalam perjalanan kempen, untuk menyertai taklimat di ibu pejabat agensi pengurusan bencana FEMA.
Beliau berbincang dengan Cooper, seorang Demokrat, dan menghubungi Gabenor Florida, Ron DeSantis dan Gabenor Georgia, Brian Kemp, kedua-duanya Republikan, untuk membincangkan keperluan mereka, menurut pegawai terbabit.
North Carolina dan Georgia adalah antara segelintir ‘swing state’ yang mungkin akan menentukan perlumbaan ke White House antara Harris dan Trump.
Kempen Harris telah mengumumkan hentian kempen di dua lagi negeri medan perang, Pennsylvania dan Michigan, masing-masing pada Rabu dan Jumaat.
Calon Timbalan Presiden, Tim Walz, seorang Demokrat, dan JD Vance, seorang Republikan, akan berdebat hari ini.
Lebih 3,300 anggota persekutuan sudah dikerahkan sebagai sebahagian daripada respon terhadap taufan, termasuk dalam usaha mencari dan menyelamat serta memulihkan bekalan elektrik, kata pegawai pentadbiran Biden.