BANGKOK: Jumlah kes Covid-19 di Thailand dijangka mencatatkan peningkatan mulai minggu depan dan mencapai kemuncak menjelang September ini.
Menurut jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA), Dr. Taweesilp Visanuyothin, lonjakan itu mungkin disebabkan kelonggaran peraturan pencegahan, termasuk menarik balik mandat pemakaian pelitup muka di tempat awam.
Namun, CCSA masih komited menyatakan vaksinasi berterusan dan pematuhan peraturan Covid-19 secara meluas dapat mengurangkan jangkitan harian.
Sehubungan itu, CCSA menggesa Kementerian Kesihatan Thailand menilai keadaan semasa bagi memastikan kemasukan ke hospital, penggunaan katil dan kematian dapat dikekalkan pada tahap terkawal.
Hal itu melibatkan kemasukan ke hospital yang tidak melebihi 4,000 pesakit, kurang 25 peratus penggunaan katil hospital dan kes kematian kurang dari 40.
Jelas Taweesilp, orang ramai digalakkan terus memakai pelitup muka di tempat awam yang sesak dan pengendali tempat berisiko tinggi digesa menggunakann langkah pencegahan yang ketat.
“Setakat ini, hanya 47l1 peratus atau 5.98 juta darip 12.7 juta orang dalam golongan berusia lebih 60 tahun sudah menerima suntikan dos penggalak.
“Jumlah itu masih rendah dan kita perlu tingkatkan bagi mengawal kadar jangkitan,” jelasnya seperti yang dilaporkan The Nation Thailand.