LONDON: Bekas Menteri Kewangan Britain, Rishi Sunak mengisytiharkan pencalonannya sebagai pemimpin Konservatif merangkap perdana menteri baharu negara ini.
Beliau membuat pengumuman itu selepas ‘membantu memulakan pemberontakan dalaman Kabinet’ yang menyaksikan kejatuhan Boris Johnson.
Sunak melatak jawatan sebagai Canselor Perbendaharaan pada Selasa lalu sehingga mendorong puluhan lagi rakan sekerjanya mengambil tindakan yang sama.
Dalam tempoh 36 jam berikutnya, tekanan semakin memuncak sehingga memaksa Johnson meletak jawatan sebagai pemimpin Konservatif.
Menerusi video yang dikongsi dalam media sosial, Sunak berikrar membina semula kepercayaan rakyat negara ini dan kerajaan mereka.
“Mari kita pulihkan semula kepercayaan, membangunkan semula ekonomi dan menyatukan negara kita,” katanya.
Jadual pemilihan kepemimpinan Konservatif dijangka diadakan pada Isnin ini, dengan calon yang dipilih ditetapkan dalam persidangan tahunan parti pada awal Oktober nanti.
Sunak merupakan antara pendahulu yang merebut jawatan tersebut dan mendapat sokongan daripada sejumlah ahli Parlimen kanan, selain mendahului tinjauan pemilihan pemimpin seterusnya.
berdasarkan tinjauan pendapat Opinium, Sunak menjadi pilihan utama bagi suku responden, diikuti Menteri Luar, Liz Truss sebanyak 21 peratus dan Menteri Pertahanan, Ben Wallace dengan 12 peratus.
Namun, Truss dan Wallance masih belum mengumumkan sama ada mereka mahu merebut jawatan tersebut atau sebaliknya. – AFP