Akhbar Atas Talian No 1 Borneo

Letupan di Marawi: Militan terus gegar Filipina

0

MANILA: Sekurang-kurangnya tiga orang terbunuh dan sejumlah lagi cedera apabila satu letupan menggegarkan perhimpunan keagamaan yang diadakan di gimnasium sebuah universiti di selatan Filipina semalam.

Jurucakap pihak berkuasa, Allan Nobleza berkata, siasatan giat dilakukan ketika ini bagi mengenal pasti motif letupan di Universiti Negeri Mindanao.

Beliau juga tidak menolak sekiranya insiden itu dilakukan oleh kumpulan militan di selatan negara ini.

“Kita akan siasat jenis bahan letupan yang digunakan dalam serangan ini.

“Mungkin boleh jadi bom tangan atau bahan letupan yang diubah suai,” katanya.

Insiden itu berlaku di Marawi, iaitu bandar yang dikuasai kumpulan militan Daesh selama lima bulan pada 2017.

Selain itu, ketenteraan Filipina turut memaklumkan pihaknya menembak mati 11 anggota militan, termasuk anggota Dawlah Islamiyah-Filipina dalam satu operasi sehari sebelum letupan itu berlaku di wilayah Maguindanao del Sur.

“Insiden yang berlaku pada pagi semalam amat tidak wajar kerana ia berlaku di institusi pendidikan yang sememangnya memberi kita ilmu dan mengajar kita mengenai keamanan.

“Insiden keganasan itu perlu dihentikan atau lebih banyak nyawa tidak bersalah menjadi mangsa,” kata Gabenor Lanao del Sur, Mamintal Adiong Jr dalam kenyataan.

Dalam pada itu, pihak pengurusan Universiti Negeri Mindanao juga bersedih dengan insiden yang berlaku.

“Kami berharap pihak yang bertanggungjawab akan diheret ke muka pengadilan,” jelas universiti itu.

Susulan insiden berkenaan, semua sesi pembelajaran akan ditangguhkan sehingga pemberitahuan notis kelak.

 

Loading

Leave A Reply

Your email address will not be published.