Akhbar Atas Talian No 1 Borneo

Mahkamah bebaskan bekas Perdana Menteri Thailand, Yingluck Shinawatra

0

BANGKOK: Bekas Perdana Menteri Thailand, Yingluck Shinawatra, hari ini dibebaskan oleh Mahkamah Agung daripada tuduhan kecuaian yang dihadapinya sejak 2013.

Yingluck, ahli keluarga Shinawatra yang berpengaruh, menetap di luar negara sejak enam tahun lalu untuk mengelak daripada dipenjarakan atas sabitan kecuaian yang dikenakan terhadapnya selepas digulingkan dalam rampasan kuasa tentera pada 2014.

Keputusan sebulat suara itu memihak kepada keluarga Shinawatra dan partinya, Pheu Thai, yang kini turut membentuk kerajaan.

Yingluck ialah adik kepada bekas perdana menteri Thailand, Thaksin Shinawatra, yang sebelum ini turut dibebaskan daripada tahanan di bawah parol.

Mahkamah masih belum mengeluarkan kenyataan mengenai keputusan kes hari ini membabitkan Yingluck, yang berpunca daripada aduan pada 2022 oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Kebangsaan terhadapnya dan empat yang lain.

Antara lain, tuduhan itu mendakwa mereka merosakkan negara dengan tidak mengikuti proses bidaan dalam pemberian kontrak kerajaan bernilai 250 juta baht (RM33 juta).

Peguam Noppadon Laothong, memberitahu bahawa mahkamah menggugurkan kes terhadap Yingluck dan empat lain selepas mendapati mereka menjalankan tugas mengikut undang-undang dan tidak menerima faedah.

Yingluck pernah disabitkan secara ‘in absentia’ atau ‘tidak hadir’ sebelum ini atas tuduhan kecuaian dan dijatuhi hukuman penjara lima tahun bagi kes skim ikrar beras kerajaan yang menyebabkan negara kerugian berbilion dolar.

Thaksin pula kembali ke Thailand pada Ogos lalu selepas menghabiskan tempoh 15 tahun di luar negara bagi melarikan diri daripada dipenjarakan atas dakwaan salah guna kuasa dan rasuah.

Kepulangan dan penahanannya mencetuskan spekulasi meluas bahawa hartawan berkuasa itu membuat perjanjian politik rahsia dengan musuh lamanya dalam tentera Thailand dan parti konservatif.

Bagaimanapun, sekutu keluarga Shinawatra menafikan perkara itu. – REUTERS

 

Loading

Leave A Reply

Your email address will not be published.