Akhbar Atas Talian No 1 Borneo

Thailand, Kemboja berbalas tembakan di sempadan

0

PHNOM PENH: Tentera Thailand, hari ini memaklumkan anggotanya berbalas tembakan dengan pasukan tentera Kemboja di sepanjang sempadan kedua-dua negara.

Thailand turut menuduh negara jirannya itu melanggar gencatan senjata yang dipersetujui pada Disember lalu, manakala Phnom Penh menafikan penggunaan ‘sebarang senjata’.

Pertikaian sempadan yang berlarutan selama beberapa dekad antara dua negara Asia Tenggara itu tercetus semula dengan berlakunya beberapa siri pertempuran tahun lalu, mengorbankan puluhan nyawa dan menyebabkan lebih sejuta penduduk terpaksa dipindahkan pada Julai dan Disember.

Kedua-dua negara menandatangani perjanjian gencatan senjata pada penghujung Disember, namun ketegangan di kawasan sempadan masih berlaku secara berterusan dengan kedua-dua pihak saling tuduh menuduh berhubung pelanggaran perjanjian berkenaan.

Tentera Thailand dalam satu kenyataan berkata, pasukan Kemboja ‘melepaskan sebutir peluru grenad 40 milimeter’ berhampiran rondaan tentera Thailand di wilayah sempadan Sisaket, hari ini, sekali gus mencetuskan tindakan balas melalui tembakan.

Jurucakap Tentera Darat Thailand, Winthai Suvaree, menuduh Kemboja melanggar perjanjian gencatan senjata yang menamatkan pertempuran selama tiga minggu.

Menteri Penerangan Kemboja, Neth Pheaktra, pula menyifatkan dakwaan itu sebagai ‘tidak benar sama sekali’ dan bertujuan mengelirukan pandangan umum serta mencetuskan ketegangan.

Tentera Thailand memaklumkan tiada anggotanya yang cedera dalam insiden hari ini.

“Susulan insiden itu, pasukan Thailand bertindak membalas dengan melepaskan tembakan M79 (pelancar grenad) ke arah lokasi asal tembakan dilepaskan … sebagai amaran dan untuk mempertahankan diri,” menurut kenyataan itu.

Tentera Thailand berkata, berdasarkan penilaian awal, insiden itu mungkin berpunca daripada pertukaran giliran pasukan Kemboja dengan anggota baharu yang kurang arif mengenai peraturan dan kawalan arahan. — AGENSI

Loading

Leave A Reply

Your email address will not be published.