Oleh EKOK AMIN
MAHKAMAH Majistret Keningau menjatuhkan hukuman denda RM4000 ke atas sebuah pasaraya terkenal di sini kerana didapati bersalah menjual kacang buncis jenama ‘Buncis Kgu’ yang didapati mengandungi resdu racun perosak Dithiocarbamate 1.51 mg/kg melebihi sukatan yang dibenarkan.
Menurut fakta kes, Jabatan Kesihatan Kawasan Keningau pada 23 Ogos 2021 telah membeli sampel ‘Buncis Kgu’ seberat 1.278 kilogram daripada permis pasaraya tersebut.
Sampel tersebut selepas melalui proses analisa didapati mengandungi racun perosak Dithiocarbamate pada kadar 1.51 mg/kg.
Pendakwa jabatan itu Kenedi Matusin memberitahu, berdasarkan peraturan 41(3)(c) Peraturan-Peraturan Makanan 1985, sebarang residu racun perosak yang tidak dinyatakan kadar dalam Jadual Keenam Belas atau Codex Alimentarius adalah tidak boleh melebihi 0.01 miligram atau lebih bagi setiap kilogram.
“Maka kamu selaku penjual telah melanggar peraturan 41(3)( c ) Peraturan-Peraturan Makanan 1985,”.
“Dengan itu kamu telah melakukan kesalahan dibawah Peraturan 397(1), Peraturan-Peraturan Makanan,” Katanya.
Kes tersebut jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi sepuluh ribu ringgit atau penjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun berdasarkan Peraturan 397(2).
Ketika dibacakan kes pendakwaan, wakil pesaraya itu mengaku bersalah dan memohon hukuman denda diringankan kerana ia merupakan kesalahan pertama syarikat mereka.
Kendi dalam hujah balas menekankan kesalahan pertama tidak boleh dijadikan alasan bagi meringankan hukuman.
“Pasaraya anda merupakan yang terbesar di daerah Keningau, dengan itu ramai penduduk di daerah ini cenderung membeli makanan di permis itu sekaligus meningkatkan risiko pendedahan kepada makanan yang tercemar dengan residu racun perosak,”.
“Hukuman berat juga harus dikenakan sebagai teladan dan pengajaran serta melindungi kepentingan awam,” Katanya.
Majistret Nur Asyraf Bin Zolhani menjatuhkan hukuman RM4000 dan jika gagal membayar boleh di hukum penjara 4 bulan.
1,772 total views, 3 views today