Akhbar Atas Talian No 1 Borneo

Perancis Melangkah Ke Suku Akhir, benamkan England 2 – 1

0

AL-KHOR, Qatar: Pengendali Perancis, Didier Deschamps hanya melakukan satu pertukaran lewat permainan ketika Perancis menewaskan England 2-1 pada aksi suku akhir Piala Dunia semalam namun, kerja sepasukan membuktikan mereka layak keluar sebagai pemenang.

Pada edisi kali ini, kelemahan Les Bleus adalah kualiti pemain di bangku simpanan dan Deschamps sekadar memasukkan Kingsley Coman bagi menggantikan Ousmane Dembele pada minit ke-79, selepas Olivier Giroud meledak gol kemenangan di Stadium Al Bayt.

Kemenangan berkenaan juga dibantu dengan kegagalan kapten England, Harry Kane menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-84 yang pasti mengikat kedudukan namun Deschamps menegaskan pemain Perancis mendapat kekuatan daripada pemain gantian.

“Kami sama-sama bekerja dan pemain gantian sentiasa memberi dorongan. Ini mengingatkan saya kepada semangat 2018. Saya harap kita dapat mara sejauh mungkin kerana pasukan ini layak mendapat sesuatu yang indah.

“Kami mendapat kunjungan daripada menteri sukan, presiden persekutuan dan juga (pemenang Piala Dunia 1998), Lilian Thuram serta Claude Makelele. Sangat indah untuk menyaksikan semua generasi ini gembira meraikan kejayaan bersama,” kata Giroud.

Deschamps yang memenangi Piala Dunia sebagai kapten pada 1998 dan jurulatih pada 2018 pula menegaskan suasana harmoni dalam kem Perancis membantu mereka kekal tenang untuk berdepan England yang memiliki kelebihan di atas kertas.

“Kami ada kualiti dan juga kekuatan mental serta pengalaman. Saya juga ada pemain muda tetapi semangat kolektif yang membawa pasukan ini maju ke depan. Dalam perlawanan penting seperti malam ini, itu yang menjadi perbezaan.

“Kami baru di separuh akhir jadi kami belum membayangkan mengenai trofi. Ada langkah seterusnya yang perlu diharungi iaitu perlawanan separuh akhir. Ayuh bergembira dengan apa yang sudah kami capai setakat ini. Sekurang-kurangnya kami memecahkan badi juara bertahan,” kata Deschamps.

Perancis kini berada pada landasan tepat untuk menjadi pasukan pertama mempertahankan kejuaraan selepas Brazil pada 1962 namun, Deschamps enggan berfikir lagi mengenai separuh akhir berdepan Maghribi yang terus mencipta kejutan. – AGENSI

Loading

Leave A Reply

Your email address will not be published.