Oleh JOHARY INDAN

PERSATUAN Persahabatan Artis KDMR Sabah (PPAKS) atau dikenaliKoisaan Piombolutan Artis KDMR Sabah (KPAKS) menyeru semua lapisan masyarakat Kadazan, Dusun, Murut dan Rungus (KDMR) turut serta menampilkan bakat dalam nyanyian bahasa ibunda.
Pengerusinya, Clarice Vitini Lajibin berkata, persatuan yang ditubuhkan pada tahun 2019 itu menyediakan platform untuk semua peringkat umur bagi membolehkan membantu komuniti memartabatkan bahasa ibunda mereka.

Katanya, selain bakat nyanyian yang ditampilkan, penguasaan bahasa ibunda boleh diperkasakan melalui lagu dalam bahasa terbabit sekali gus memastikan bahasa ibunda tidak mudah ‘pupus’ mengikut arus moden.
“Pada zaman serba teknologi canggih ini, ramai ibu bapa memilih menggunakan bahasa kebangsaan atau bahasa antarabangsa untuk berkomunikasi dengan anak-anak”.
“Ia menjadi satu cabaran apabila ada anak-anak atau generasi kini sukar menguasai bahasa etnik disebabkan persekitaran yang kurangnya terdedah komunikasi atau mengambil ringan pembelajaran subjek bahasa etnik sendiri,” katanya, di sini.
Menurutnya, persatuan yang didaftarkan di bawah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) pada 9 Disember 2021 berkenaan, persatuan kini disertai seramai 61 orang terdiri dari pelbagai peringkat usia di seluruh Sabah.
Beliau mengulas lanjut, peminat seni muzik dan nyanyian yang berminat menyertai persatuan ini boleh menggunakan platform seperti pengeluaran album dan persembahan selain menjalankan aktiviti kebudayaan.
“Ramai anak muda yang mengambil inisiatif atau sudah berjaya menempah nama dalam industri hiburan melalui penggunaan platform seperti youtube”.
“Dengan adanya lagu dalam bahasa ibunda dan dinyanyikan secara meluas, ianya boleh menjadi contoh generasi muda dan mereka boleh belajar atau memperkasakan penguasaan bahasa ibunda melalui lagu ini”.
“Maka, saya berharap masyarakat KDMR juga boleh menggunakan platform persatuan ini untuk mengetengahkan bakat mereka seterusnya menjadi kerjaya pada masa akan datang,” jelasnya.
Sementara itu, Setiausaha PPAKS, Raimi Jukin berkata, persatuan ini telah menerbitkan tiga siri album Mega Piombolutan dan bakal menerbitkan tiga lagi siri di bawah album sama.
Katanya, selain merancang menerbitkan telemovie tempatan, tiga siri lagi bagi album Susuminding Tulun Tokou bakal diterbitkan pada Julai ini.
“Persatuan ini bukan sahaja terlibat dengan bidang nyanyian dan bengkel teknik penulisan namun turut menerapkan nilai kekeluargaan di mana setiap tahun persatuan ini akan mengadakan aktiviti keluarga seperti lawatan, riadah, sukaneka, pertandingan karoeke dan sebagainya”.
“Persatuan ini sentiasa mengalu-alukan kedatangan ahli baharu dan sesiapa yang berminat, boleh menghubungi talian 019-396 0557,” jelasnya.
![]()