DOHA: Maghribi yang tampil penuh kejutan di Piala Dunia 2022 hadir tanpa harapan kini bergelar pembunuh pasukan gergasi selepas membaham Belgium, Sepanyol dan Portugal.
Pada pertemuan separuh akhir awal pagi esok, skuad kendalian Walid Regragui sekali lagi akan menentang gergasi Eropah, Perancis yang juga merupakan pasukan pilihan juara bertahan edisi 2018.
Atas kertas, segala kelebihan nampak bersama skuad Les Bleus yang sarat dengan pemain bertaraf bintang di bawah kendalian Didier Deschamps, namun mereka perlu mengambil iktibar atas apa yang berlaku kepada Belgium, Sepanyol dan Portugal ketika berdepan Maghribi.
Sekiranya berjaya melakar kejutan ke atas Perancis, pasukan yang terkenal dengan julukan Atlas Lions akan meneruskan perjalanan epik mereka di Qatar dan bakal mencipta sejarah baharu buat negara Afrika di pentas dunia.
Benteng Maghribi menjadi barisan pertahanan paling ampuh di Piala Dunia 2022 selepas hanya melepaskan satu gol melalui jaringan sendiri akan berdepan jentera serangan paling berbisa dalam kejohanan kali ini.
Kylian Mbappe ketika ini meledak lima gol dan Olivier Giroud pula menjaringkan empat gol selain hasil bantuan Antoine Griezmann yang beraksi cemerlang termasuk ketika kemenangan di suku akhir ke atas England.
Skuad Perancis akan menurunkan barisan terkuat ketika menentang Maghribi, walaupun berdepan masalah utama kekurangan pilihan pemain di bangku simpanan.
Perkara itu ternyata meresahkan Deschamps apabila dia hanya melakukan satu pertukaran ketika menewaskan England 2-1 dalam aksi suku akhir dengan memasukkan Kingsley Coman selain perlu berterima kasih kepada Harry Kane yang gagal menyempurnakan penalti.
Sementara Maghribi pula dilihat sedikit tempang apabila dijangka beraksi tanpa pertahanan utama, Nayef Aguerd yang mengalami kecederaan dan pada masa yang sama mendoakan agar kapten pasukan, Romain Saiss cergas untuk menyertai kesebelasan utama..
Sisi lain yang menarik untuk diperkatakan dalam perlawanan ini ialah pertembungan dua bintang Paris Saint-Germain (PSG), Mbappe dan kawan baiknya Achraf Hakimi yang menjaga benteng Maghribi.