PIHAK berkuasa Hong Kong menangkap sekurang-kurangnya tujuh ekor babi hutan liar yang ditembak dengan ubat pelali ketika wilayah separa autonomi itu memulakan kempen mengurangkan populasi haiwan itu demi keselamatan penduduk.
Kawanan babi hutan dapat dilihat di beberapa daerah di wilayah ini, malah pihak berkuasa memaklumkan ada penduduk yang memberi haiwan berkenaan makanan, menyebabkan kehadirannya di kawasan perumahan semakin meningkat.
“Pasukan veterinar menggunakan ubat pelali untuk menangkap haiwan itu.
“Langkah ini diambil bagi mengelakkan kawanan haiwan itu merosakkan infrastruktur awam untuk mencari makan, selain boleh mendatangkan bahaya kepada penduduk,” menurut kenyataan Jabatan Agrikultur, Perikanan dan Pemuliharaan Hong Kong.
Pada minggu lalu, seekor babi hutan liar merempuh seorang anggota polis sehingga kakinya patah.
Kejadian itu menyebabkan pemimpin Hong Kong, Carrie Lam memberi amaran untuk mengenakan denda yang tinggi kepada mana-mana pihak yang didapati sengaja memberi makanan kepada haiwan tersebut.
Dianggarkan sebanyak 30 serangan babi hutan liar direkodkan sejak beberapa tahun lalu. – REUTERS
450 total views, 1 views today