POLIS Kepulauan Riau menahan dua suspek yang didakwa bertanggungjawab menguruskan sebahagian pendatang tanpa izin Indonesia yang menaiki bot untuk masuk ke Malaysia pada pertengahan bulan ini.
Pengarah Direktorat Jenayah Umum Polis Riau, Jefry Siagian berkata, kedua-dua suspek itu didakwa membawa 10 pendatang untuk berlepas menaiki bot melalui pelabuhan di Tanjung Uban, Bintan.
“Kedua-dua suspek itu dikenali sebagai JI, 39, dan AB, 48. Mereka menguruskan 10 pendatang untuk dibawa masuk ke Malaysia secara haram.
“Susulan penangkapan suspek, polis dapat mengenal pasti beberapa nama lain yang turut terlibat dalam kes tersebut,” katanya.
Pada 15 Disember lalu, sebuah bot pancung yang dinaiko kira-kira 50 pendatang warga Indonesia karam akibat ombak tinggi ketika cuaca buruk berhampiran pantai Tanjung Balau.
Insiden itu menyaksikan hanya 13 daripada mereka selamat, manakala 20 ditemukan lemas dengan seorang meninggal dunia di hospital dan 16 lagi hilang.
Dalam pada itu, Jefry memberitahu, kedua-dua suspek meminta bayaran sehingga 4.5 juta rupiah (RM1,324) daripada setiap pendatang untuk memasuki Malaysia.
“Kedua-dua suspek memberitahu, bayaran itu diperlukan untuk membayar tekong bot dan urusan dokumen lain,” ujarnya.
450 total views, 2 views today