Akhbar Atas Talian No 1 Borneo

Rakyat Sabah Diingatkan Sentiasa Jaga Kesihatan

Berikutan kebenaran rentas negeri dibenarkan mulai hari ini

0

MASYARAKAT di Sabah diharap dapat terus menjaga kesihatan diri masing-masing dan orang sekeliling daripada dijangkiti penyakit COVID-19 berikutan kelonggaran yang diberikan di negeri ini.

Naib Ketua Armada BERSATU Sabah, Rafie Robert berkata, seperti yang diketahui umum, negara kini dalam peralihan ke fasa endemik setelah peratusan yang menerima vaksin COVID-19 telah mencapai tahap yang memuaskan.

“Seperti yang diketahui, makna endemik ialah keadaan di mana penyakit bawaan COVID-19 tetap masih wujud di sekitar kita cuma ia sudah dapat dikawal dengan baik.

“Berikutan usaha kerajaan untuk terus maju ke hadapan dan ke arah fasa endemik ini, diharap mereka yang masih belum mendapatkan suntikan vaksin, dapat hadir untuk menerima vaksin COVID-19 secepatnya mungkin untuk perlindungan diri dan memudahkan urusan seharian mereka.

“Ini kerana penyakit ini bakal berada di sekeliling kita dan mereka yang belum menerima suntikan vaksin kemungkinan besar akan mengalami kesan yang lebih buruk berbanding mereka yang sudah menerima vaksin sepenuhnya.

“Kita yakin kerajaan telah melakukan yang terbaik untuk menjaga dan melindungi kesihatan dan ekonomi setiap rakyat. Oleh itu, setiap individu diharap dapat memberi kerjasama sebaiknya dalam usaha memulihkan negara ini termasuk menjaga kesihatan mereka,” jelasnya ketika dihubungi di sini.

Beliau yang juga Ketua Armada BERSATU Bahagian Keningau berharap agar setiap masyarakat juga perlu terus menjaga kesihatan diri masing-masing dengan mengamalkan budaya norma baharu dan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) sedia ada bagi mengelakkan daripada dijangkiti COVID-19, termasuk mereka yang sudah lengkap menerima vaksin.

 

Loading

Leave A Reply

Your email address will not be published.