KYIV: Russia melancarkan serangan udara besar-besaran ke atas Ukraine sehingga mengorbankan lebih 30 orang dan mencederakan ratusan lagi di seluruh negara.
Ia merupakan serangan udara terbesar dilancarkan ke atas Ukraine sejak pencerobohan Russia pada 24 Februari 2022.
Menteri Dalam Negeri Ukraine, Igor Klymenko menerusi Telegram mengesahkan sekurang-kurangnya 31 orang terbunuh dan lebih 160 cedera akibat serangan udara Russia di wilayah itu.
Menurut pihak berkuasa Ukraine, sebuah hospital bersalin, beberapa sekolah, pusat beli-belah dan blok apartmen antara bangunan yang terjejas akibat serangan udara yang berlaku pada waktu pagi.
Serangan itu menyasarkan sekurang-kurangnya enam wilayah Ukraine termasuk Kharkiv di timur laut, Lviv di barat, Dnipro di timur dan Odesa di selatan.
Menurut Datuk Bandar Vitali Klitschko, sekurang-kurangnya tujuh orang terbunuh di ibu negara Kyiv.
Katanya, serangan udara itu turut menyebabkan kerosakan pada bangunan stesen metro Lukyanivska yang terletak berhampiran kilang senjata Artyom yang didakwa Russia menjadi sasaran awal pertempuran.
Serangan udara besar-besaran itu mencetuskan kemarahan dan kecaman dunia, selain meraih sokongan ketenteraan kepada Ukraine yang berusaha memerangi pencerobohan Russia sejak akhir Februari 2022.
Dilaporkan, serangan itu juga menyaksikan peluru berpandu dilancarkan tentera Russia melalui ruang udara Poland.
Dalam pada itu, jurucakap tentera udara Ukraine, Yuriy Ignat memaklumkan pihaknya menganggarkan Russia melancarkan sebanyak 158 peluru berpandu dan dron menyasarkan Ukraine.
Bagaimanapun, katanya, sebanyak 114 daripada peluru berpandu dan dron dilancarkan itu berjaya dimusnahkan.
“Ini adalah bilangan peluru berpandu paling tinggi yang dilancarkan.
“Malah, ia merupakan serangan peluru berpandu paling besar dalam perang ini, tidak termasuk hari-hari awal pengeboman berterusan,” katanya.
Moscow berusaha menentang pertahanan udara Ukraine di kebanyakan bandar utama dengan melancarkan gelombang serangan dron Shahed diikuti dengan peluru berpandu pelbagai jenis digugurkan dari pesawat dan dari wilayah dikuasai Russia.
Sementara itu, tentera Russia memaklumkan pasukannya berjaya melakukan kira-kira 50 serangan secara berkumpulan dan satu serangan besar-besaran ke atas kemudahan tentera di Ukraine sepanjang minggu lalu.
Jelas tentera Russia, semua sasaran itu berjaya diserang oleh pasukannya. – AFP