Akhbar Atas Talian No 1 Borneo

Sabah FC harap keputusan yang baik lawan JDT

0

PENENTUAN Sabah FC dalam perlawanan ketiga Kumpulan D Piala Malaysia menentang JDT di Stadium Likas Jumaat ini dijangka menyaksikan pertarungan sengit namun pasukan tuan rumah pastinya mengharapkan keputusan yang baik memihaknya.

Pengarah Sabah FC, Datuk Dr. Jelani Hamdan, berkata walaupun pasukannya tidak meletakkan sasaran yang tinggi dalam perlawanan ini tetapi keputusan yang baik dicapai anak-anak buah merupakan sesuatu yang sangat diharapkan.

Katanya, beliau percaya dengan persediaan yang dilakukan oleh ketua jurulatih, Datuk Ong Kim Swee mampu menyuntik semangat kepada pemain-pemain untuk bermain lebih baik.

“Kita mahu pemain-pemain beraksi dengan penuh bersemangat, lebih-lebih lagi di halaman sendiri,” katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata, dengan persiapan kira-kira sebulan sebelum melayan kehadiran JDT dalam perlawanan ini sudah tentu Kim Swee mampu memahami situasi untuk berhadapan dengan pasukan juara Liga Super itu.

“Kita percaya dengan keupayaan Kim Swee dan pemain-pemain yang akan menggalas tugas di padang,” tambahnya.

Menurut Jelani, dalam bola sepak pelbagai kemungkinan boleh berlaku dan di luar jangkaan.

“Tidak mustahil keputusan yang baik boleh diperolehi sekiranya pemain-pemain kita mempunyai semangat tinggi dan kesungguhan untuk memburu kejayaan,” ujarnya.

Sabah FC setakat ini menduduki tempat kedua dalam Kumpulan D dengan mengutip dua mata selepas seri dengan PJ City FC dan Kelantan FC.

Pasukan tuan rumah sekali lagi akan bertemu dengan JDT di Johor pada 2 November ini sebelum menentang Kelantan FC pada 6 November dan PJ City Fc pada 9 November.

Sementara itu, seramai 6,348 penonton dibenarkan untuk menyaksikan perlawanan kedua-dua pasukan tersebut nanti. – Oleh: DG HENRY

Loading

Leave A Reply

Your email address will not be published.