BAITULMUQADDIS: Israel melancarkan serangan artileri ke atas Syria selepas beberapa roket dilaporkan dilepaskan dari Syria dan mendarat di Dataran Tinggi Golan yang diduduki Israel.
Lapor Channel News Asia, serangan Israel dan serangan roket dari Syria adalah episod serangan terbaharu yang meningkatkan keganasan di rantau itu.
Tentera Israel dalam ciapan Twitter berkata, serangan itu adalah sebagai tindak balas kepada roket yang dilepaskan dari Syria ke Israel awal hari ini.
“Artileri Pasukan Pertahanan Israel (IDF) kini menyerang di wilayah Syria.
“Sebuah dron juga pada masa ini menyerang Syria selepas roket dilancarkan ke wilayah Israel,” menurut tentera.
Enam roket dilaporkan dilancarkan ke arah Israel pada malam Sabtu dengan dua mendarat di Bukit Golan yang diduduki Israel, kata tentera.
Sekurang-kurangnya sebuah roket berjaya dipintas oleh sistem pertahanan udara Israel.
Lonjakan keganasan dan pergolakan berlaku ketika umat Islam menjalani ibadah puasa serentak dengan perayaan Paskah Yahudi, dan Easter Kristian.
Pada Rabu lalu, polis Israel menyerbu Masjid Al-Aqsa, tapak ketiga paling suci Islam yang kononnya bertujuan untuk mengusir pemuda bertopeng yang melanggar undang-undang.