WASHINGTON: Sekumpulan ahli astronomi mendakwa menemukan sebuah planet sebesar bumi yang dikatakan mempunyai kriteria unik untuk mengekalkan kehidupan.
Lapor Sky News, para penyelidik percaya mereka menemukan planet bersaiz bumi memiliki medan magnet yang dikenali sebagai YZ Ceti b.
YZ Ceti b dikatakan merupakan planet berbatu yang mengorbit bintang kira-kira 12 tahun cahaya dari bumi.
Ahli astronomi dari Universiti Bucknell di Amerika Syarikat (AS), Jackie Villadsen berpandangan amat mencabar untuk menentukan sama ada planet jauh mempunyai medan magnet atau sebaliknya kerana ia tidak dapat dilihat.
Bagaimanapun, saintis dari Yayasan Sains Kebangsaan, Joe Pesce berkata, ciri itu masih dapat dikesan sekiranya melakukan pencarian planet yang berpotensi untuk didiami atau boleh hidup.
“Penyelidikan ini bukan sahaja menunjukkan bahawa eksoplanet berbatu itu berkemungkinan mempunyai medan magnet tetapi menyediakan kaedah menjanjikan untuk mencari lebih banyak lagi,” katanya.
Medan magnet penting untuk melindungi atmosfera yang mengekalkan kehidupan di Bumi.
Ia berfungsi dengan memesongkan sebahagian besar zarah tenaga tinggi dan plasma yang kerap dikeluarkan dari matahari.
Dalam pada itu, pasukan penyelidik turut mengesan gelombang radio yang dikatakan dihasilkan oleh interaksi antara medan magnet planet dan bintang yang mengorbitnya.
Laporan penyelidikan itu diterbitkan dalam jurnal Nature Astronomy pada Isnin lalu.
Dilaporkan, YZ Ceti b tidak boleh didiami kerana ia terlalu hampir dengan bintang namun planet itu dikatakan mempunyai persamaan lain dengan bumi iaitu cahaya Aurora atau dikenali sebagai Northern Lights.