Oleh ROSANNA EDEZA dan EKOK AMIN
SEKOLAH Kebangsaan (SK) ST Francis Xavier mengunguli kejohanan Majlis Sukan Sekolah-Sekolah (MSS) Zon Bandar kali ke – 25 Tahun 2022, mengenepikan cabaran enam sekolah lain di daerah lembah Banjaran Crocker.
Kejohanan itu dirasmikan oleh Pengerusi Pengelola SK St Francis Xavier Dominic Liew, yang menekankan aktiviti sukan sangat penting kepada rakyat dan negara.
“Khususnya generasi anak bangsa. Selain memberi tubuh yang cergas dan minda yang cerdas, aktiviti sukan yang melibatkan murid daripada pelbagai kaum dapat memupuk semangat perpaduan sekali gus mengeratkan silaturahim,” katanya.
Domonic berkata, orang yang mementingkan sukan ialah orang yang tahu makna kehidupan.
“.. Dengan bersukan kehidupan lebih sihat, cergas dan kuat. Amalan ini mestilah dipupuk di peringkat sekolah lagi dan sudah tentulah pihak sekolah menjadi teraju utama untuk memupuk minat bersukan dalam kalangan murid-murid,” tegasnya.
Terdahulu, Guru Besar Saint Francis Xavier Petrus Josephemin ketika berucap sebagai tuan rumah kejohanan berkata, temasya olaraga yang dijalankan merupakan agenda besar dalam kalendar sekolah.
Justeru, beliau mahu murid-murid yang terserlah kecemerlangan dalam bidang sukan, diharapkan boleh menjadi atlet yang berpotensi untuk diketengahkan ke peringkat yang lebih tinggi bagi mewakili daerah, negeri dan negara.
“Bidang sukan merupakan antara platform yang terbaik untuk melahirkan generasi yang cergas fizikal dan cerdas mental,”
Petrus mengharapkan ibu bapa memberikan sokongan kepada anak-anak untuk bergiat cergas dalam aktiviti kokurikulum kerana potensi dan penglibatan murid-murid dalam bidang kokurikulum akan membantu mereka mencapai kecemerlangan dalam bidang kurikulum.
Johan keseluruhan kejohanan itu ialah SK. Saint Francis Xavier, Naib Johan SK. Kg. Banjar, SK Kg. Keningau di tempat ketiga, SK. Pekan Keningau keempat, kelima SK. Bulu Silou, keenam dan ketujuh masing-masing SJK Yuk Yin dan SK Patikang Laut.
Altidore Ozel Norman diumumkan sebagai Olahragwan yang Berjaya memungut dua emas melalui acara 100 meter dan 200 meter.
Olaragawati, jatuh kepada Natasha Alia Binti Sajali dengan pencapaian dua emas dalam acara 100 meter dan 200 meter.