Akhbar Atas Talian No 1 Borneo

Sungai Bariawa, Pegalan dicemari bahan kimia

Susulan kemalangan lori treler pengangkut bahan industri (gam)

0

Oleh DG HENRY

WALTER KENSON

PENDUDUK yang tinggal di sepanjang sungai Bariawa dan Pegalan di Keningau, dinasihatkan agar tidak menggunakan air tersebut sehingga disahkan selamat oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) berikutan pencemaran bahan kimia berbahaya susulan kejadian tumpahan ‘gam’ akibat kemalangan membabitkan sebuah lori treler pengangkut bahan industri di Simpang Bariawa malam pada Sabtu.

Pegawai Daerah Keningau Walter Kenson memberitahu dalam satu kenyataan berkata, tumpahan  gam yang mengandungi Phenol Formaldehyde Resin berbahaya kepada kepada pengguna air sepanjang sungai yang tercemar.

DSP NOR RAFIDAH

“Saya nasihatkan penduduk yang terjejas supaya segera ke hospital atau klinik perubatan berdekatan bagi mendapatkan rawatan segera jika sekiranya mengalami masalah kesihatan,” katanya.

Walter berkata, antara sungai yang terjejas termasuk Bariawa Ulu, Bariawa Tengah, Bariawa Laut, Lingkudou, Durok, Masak, serta Ansip.

Pegawai Daerah itu juga meminta penduduk untuk memaklumkan sahabat serta saudara mara yang tinggal di sepanjang sungai berkenaan agar menghindari daripada menggunakan air sungai itu.

Hidupan air seperti ikan di beberapa sungai yang dicemari bahan kimia mati

Dalam satu kenyataan berasingan, Ketua Polis Daerah Keningau, Deputi Superintendan Nor Rafidah Kassim, berkata dalam kejadian itu jam 11.40 malam pada Sabtu, sebuah lori treler dari Kota Kinabalu menuju  ke  kilang papanlapis Kosinar Sook (Sabah, Malaysia), telah hilang kawalan semasa menuruni bukit sebelum terbabas dan terlanggar tebing bukit.

Pemandu lori tidak cedera, bagaimanapun kemalangan itu mengakibatkan lori berkenaan pecah dan tumpahan sisa gam mengalir ke kawasan aliran sungai kecil di Kampung Bariawa.

“Pasukan dari Jabatan Kesihatan dan Polis Diraja Malaysia telah melakukan pemantauan di tempat kejadian dan mengambil sampel air sungai untuk tindakan lanjut. Laporan lanjut telah diserahkan kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS) untuk tindakan.

“Orang awam dinasihatkan agar tidak membuat sebarang aktiviti di sungai  yang tercemar itu,” katanya dalam satu kenyataan kepada media.

 

Loading

Leave A Reply

Your email address will not be published.