Oleh DG HENRY
KOTA KINABALU (Sabah, Malaysia):TABS Bandaraya mencatat dua kemenangan dalam kategori umur 12 tahun dalam saingan Liga Suparimau 2022 yang bermula di padang sintetik Kompleks Sukan Likas di sini, pagi tadi.
Pasukan TABS Bandaraya A menewaskan pasukan AT Kota Belud 2-1 manakala TABS Bandaraya B mengalahkan pasukan Kundasang FT 1-0.
TABS Bandaraya A yang baru sahaja menjuarai Piala SAMORA minggu lepas dikejutkan pasukan AT Kota Belud yang mendahului mereka 1-0 di separuh masa pertama.
Bagaimanapun, pasukan itu tidak berputus asa dan terus mengasak lawan yang membolehkan mereka berjaya menjaringkan dua gol untuk mengutip tiga mata penuh di babak separuh masa kedua.
Dalam satu lagi perlawanan bagi kategori B16 tahun, TABS Bandaraya A mencatat keputusan seri 0-0 di venue yang sama.
Perlawanan bagi kategori 14 tahun akan dijalankan di padang yang sama pagi esok (Ahad).
Timbalan Pengerusi TABS SAFA Bandararaya, Lokman Sunggim ketika ditemui di sini menyifatkan dua kemenangan dalam kategori B12 itu sebagai permulaan yang baik untuk pasukan meneruskan cabaran pada liga tersebut minggu depan.
Katanya, pemain-pemain perlu mengekalkan momentum kemenangan dalam saingan peringkat kumpulan bagi membolehkan pasukan meneruskan kemaraan ke pusingan seterusnya.
“Ini permulaan yang baik bagi pasukan kategori umur B12 dan mereka perlu terus bermain dengan baik untuk mencatat kemenangan,” ujarnya.
Beliau berharap kesemua pasukan TABS Bandaraya termasuk B16 dan B14 menunjukkan kesungguhan masing-masing menghadapi lawan bagi mendapatkan keputusan yang baik.
Menurutnya, TABS Bandaraya menghantar tujuh pasukan menyertai liga tersebut termasuk tiga pasukan bertanding untuk kategori B14 tahun, dua pasukan B12 dan dua pasukan B16.