Akhbar Atas Talian No 1 Borneo

Tentera AS musnahkan peluru berpandu Houthi – CENTCOM

0

WASHINGTON: Tentera Amerika Syarikat (AS) menyerang dan memusnahkan peluru berpandu darat ke udara Houthi di Yaman semalam selepas memutuskan perkara itu menimbulkan ancaman segera kepada pesawat AS kata Pentadbiran Pusat AS, CENTCOM.

Houthi yang disokong Iran, menguasai sebahagian besar Yaman yang kini dilanda perang dan menyerang laluan perkapalan di Laut Merah sejak November dalam kempen yang mereka katakan sebagai solidariti terhadap penduduk Palestin di Gaza dalam perang Israel-Palestin.

AS menerajui pakatan tentera laut untuk melindungi kapal di laluan perairan penting global itu dan turut melakukan serangan balas udara di wilayah Houthi.

CENTCOM dalam kenyataan berkata, tentera AS melakukan serangan mempertahankan diri terhadap satu peluru berpandu darat ke udara Houthi, yang sedia untuk dilancarkan.

Katanya, pihak Houthi semalam melancarkan serangan peluru berpandu ke kawasan Laut Merah, bagaimanapun tiada kesan atau kerosakan berlaku pada mana-mana kapal.

Dalam kenyataan bersama pada minggu lalu, tentera AS dan Britain melakukan serangan terhadap 18 sasaran Huthi di lapan lokasi di Yaman, termasuk kemudahan penyimpanan senjata, dron serangan, sistem pertahanan udara, radar dan helikopter.

Menurut agensi berita rasmi Houthi, seorang terbunuh, manakala lapan lagi tercedera dalam serangan terbabit. – AFP

 

Loading

Leave A Reply

Your email address will not be published.