RIYADH: Cristiano Ronaldo menyaksikan Al-Nassr diikat 4-4 oleh Al-Hazm dari tempat duduk penonton, manakala Neymar menyaksikan pasukannya Al-Hilal bangkit menewaskan Al-Ittihad 3-1.
Jaringan Saleh Al-Shehri, Malcom, dan Saud Abdulhamid meletakkan Al-Hilal semakin selesa bagi memburu gelaran ke-19 Liga Pro Saudi.
Juara 18 kali itu kini mendahului liga dengan kelebihan sembilan mata ke atas Al-Nassr selepas memenangi 25 perlawanan terakhir mereka dalam semua pertandingan, dan 15 kali dalam liga.
Juara bertahan, Al-Ittihad yang beraksi tanpa penyerang bintang Karim Benzema, bermula baik dan mendahului permainan pada minit ke-12 menerusi N’Golo Kante – gol pertamanya dalam tempoh enam bulan.
Al-Hilal mula menemui rentak di pertengahan babak pertama dan menyamakan kedudukan menerusi Al-Shehri, enam minit sebelum rehat.
Di babak kedua, Sergej Milinkovic-Savic membuat hantaran sempurna untuk Malcom menanduk masuk gol kedua Al-Hilal pada minit ke-59.
Lapan minit kemudian, Abdulhamid memastikan kemenangan buat Al-Hilal, juga hasil hantaran Milinkovic-Savic.
Al-Ittihad kekal di tangga kelima – 25 mata di belakang pendahulu itu. – AGENSI