Akhbar Atas Talian No 1 Borneo

Wanita maut dipijak, mayatnya dihempap gajah

0

SEORANG wanita berusia 70 tahun maut selepas dipijak seekor gajah malah mayat warga emas itu dihempap sekali lagi oleh haiwan liar yang sama ketika upacara pengebumian.

Lapor Daily Mail, ketika kejadian, Maya Murmu sedang mengisi air dalam bekas tanah liat di perkampungan Raipal, Timur India sebelum seekor gajah `naik angin’ yang terlepas dari lokasi tidak diketahui, menyerang dan memijaknya sehingga mati.

Polis di Rasgovindpur, Lopamudra Nayak berkata, mangsa kemudian dikejarkan ke hospital dan disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah dialaminya.

“Namun, secara tiba-tiba, gajah liar yang sama muncul semula sebelum upacara pembakaran mayat warga emas itu pada waktu petang.

“Haiwan itu terus mengangkat mayat wanita, melemparkannya ke tanah dan memijak semula sebelum mencampaknya,” katanya.

Gajah itu dipercayai terlepas dari Santuari Hidupan Liar Dalma di Jharkhand, kira-kira 200 kilometer (km) dari Raipal di Odisha, daerah Mayurbhanj.

Berdasarkan laporan media tempatan, insiden pijakan kedua itu berlaku ketika keluarga mangsa sedang melakukan upacara terakhir pembakaran mayat Murmu.

Tambah laporan itu, keluarga Murmu kemudian meneruskan upacara tersebut selepas gajah meninggalkan tempat tersebut.

 

Loading

Leave A Reply

Your email address will not be published.