BAITULMUQADDIS: Wartawan Al-Jazeera, Shireen Abu Aqleh, 51, maut ditembak tentera Israel ketika membuat liputan mengenai serbuan yang dibuat di khemah pelarian dekat Tebing Barat, Palestin.
Kementerian Kesihatan Palestin dan Al-Jazeera mengesahkan berita kematian wartawan wanita yang bertutur dalam bahasa Arab yang sangat disegani itu.
Israel sebelum ini melaporkan pihaknya mengadakan satu operasi di tapak khemah pelarian di Jenin, yang didakwa sebagai kubu kuat kepada kumpulan bersenjata Palestin di utara Tebing Barat.
Pihak berkuasa Israel mendakwa terdapat insiden berbalas tembakan ketika serbuan dibuat dan pihaknya menyiasat kemungkinan wartawan berkenaan terkena tembakan daripada pihak bersenjata Palestin.
Ketegangan dilapor memuncak beberapa bulan kebelakangan ini dengan sekurang-kurang 18 orang dilaporkan maut sejak 22 Mac, termasuk seorang anggota polis Israel dan dua warga Ukraine.
Mengikut rekod AFP, sekurang-kurangnya 30 rakyat Palestin dan tiga anggota keselamatan Israel maut dalam tempoh sama.
Jumlah berkenaan termasuk individu yang didakwa terlibat dalam serangan ke kawasan kejiranan dan orang awam yang terkorban sepanjang operasi pihak berkuasa Israel di Tebing Barat.-AFP