Oleh DG HENRY dan EKOK AMIN

PERSATUAN Bola Sepak Sabah (SAFA) mengesyorkan yuran pengadil di seluruh daerah diseragamkan bagi membolehkan sebarang penganjuran kejohanan bola sepak di negeri ini berjalan lancar.
Berikutan itu, Pengerusi Pembangunan Kepengadilan Negeri, Sani Tari telah diminta menyediakan kadar bayaran yang berpatutan dan kemudian akan diperhalusi untuk dibuat ketetapan kadar yang sesuai.
Penolong Setiausaha Agung SAFA, Azman Mastar berkata, dengan penyeragaman kadar bayaran itu akan dapat membantu memudahkan sebarang penganjuran kejohanan bola sepak di negeri ini.
Menurut beliau, pihaknya akan bekerjasama dengan jawatankuasa pembangunan pengadil negeri supaya satu kadar bayaran yang munasabah dapat ditetapkan.
“Kita telah berbincang dengan pengerusi jawatankuasa berkenaan dan satu kadar bayaran yang seragam akan dapat diputuskan dalam masa terdekat,” katanya dalam sidang media di pejabat SAFA, kelmarin.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) SAFA memberitahu, Pengerusi Pembangunan Kepengadilan Negeri, Sari Tari akan menjadi pengerusi bersama Ahli Majlis Tertinggi SAFA, Mustapha Tuah sebuah jawatankuasa yang dianggotai pegawai SAFA dan pengadil dalam JKPT SAFA.
Katanya, perkara itu telah diputuskan dalam mesyuarat JKPT dan wakil pengadil di pejabat SAFA pada Rabu.
Azman percaya dengan langkah menyeragamkan bayaran pengadil itu akan mengelak sebarang kekeliruan berhubung bayaran pengadil di semua daerah di negeri ini.
“Kita banyak menerima rungutan mengenai kadar bayaran pengadil yang tidak seragam ini dari SAFA daerah sebelum ini,” ujarnya.
Justeru, tambah beliau, sudah tiba masanya perkara ini diselesaikan bagi memudahkan mana-mana pihak menganjurkan kejohanan bola sepak di peringkat kampung, daerah dan negeri.
Beliau berkata, langkah ini juga sebagai salah satu usaha dalam memantapkan lagi pembangunan bola sepak serta kepengadilan di negeri ini.
Ia termasuk dapat memastikan semua pengadil yang ada di negeri ini berdaftar dan mempunyai kelayakan sepatutnya di samping dapat bersama-sama memainkan peranan seiriing dengan badan bola sepak untuk memajukan sukan bola sepak, tegas Azman.
Beliau menjelaskan perbincangan antara kedua-dua pihak badan bola sepak dan pengadil akan terus dipertingkatkan dari semasa ke semasa termasuk dalam usaha penganjuran pertandingan bola sepak yang dikendali JKPT SAFA.
533 total views, 1 views today