Akhbar Atas Talian No 1 Borneo

20 terbunuh serangan ganas di lombong emas di Papua New Guinea

0

SYDNEY: Kira-kira 20 orang terbunuh dalam serangan ganas berhampiran lombong emas Porgera milik Barrick Gold di Papua New Guinea, semalam.

Media tempatan turut melaporkan, serangan itu menyebabkan wanita serta kanak-kanak melarikan diri dari kawasan berkenaan.

Bagi menangani situasi terbabit, kerajaan Papua New Guinea memberikan kuasa kecemasan kepada polis, termasuk hak untuk menggunakan senjata api.

Ini bagi membolehkan mereka mengawal keganasan di Porgera membabitkan penduduk haram yang menceroboh kawasan berhampiran lombong emas dan pemilik tanah tempatan, lapor akhbar Post-Courier dan The National semalam. Bagaimanapun, Barrick Gold dan polis tidak segera memberi maklum balas terhadap insiden berkenaan. Beberapa sekolah, hospital, bank dan perkhidmatan kerajaan lain di kawasan itu ditutup akibat keganasan, lapor Post-Courier.

Negara Pasifik yang terletak di utara Australia itu, mempunyai ratusan suku dan bahasa, memiliki sejarah panjang peperangan antara etnik.

Namun, keganasan seumpama itu dilihat meningkat sejak sedekad lalu apabila penduduk kampung mula menggunakan senjata api berbanding sebelum ini memakai busur dan anak panah.

Malah, pilihan raya yang diadakan juga hanya memburukkan perpecahan suku kaum sedia ada. Keganasan yang berlaku di tiga kampung terpencil di utara negara pada Julai lalu mengorbankan 26 orang, termasuk 16 kanak-kanak, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

 

Loading

Leave A Reply

Your email address will not be published.